Seorang anak VIP dari Iran, Sajad Farhadi, yang dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat, dibebaskan dan akan berlepas pulang ke negaranya malam ini.
  
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara menolak rayuan Menteri Dalam Negeri, pengarah Penjara Sungai Buloh, Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara berhubung perintah Mahkamah Tinggi pada 2 Ogos lepas yang membebaskan Sajad daripada tahanan selepas membenarkan permohonan habeas corpus warga Iran itu.
  
Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pemberita bahawa Sajad, 34, akan cuba mendapatkan penerbangan ke Iran malam ini dan perjalanan beliau ke lapangan terbang akan diiringi pihak berkuasa.
  
Muhammad Shafee juga berkata memandangkan visa Sajad telah tamat tempoh, beliau akan diberi pas khas untuk keluar dari Malaysia.
  
Terdahulu, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus Sajad.
  
"Kami akan memberi penghakiman bertulis kemudian," kata Raus yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
  
Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan itu pada sebelah petang selepas menolak permohonan untuk menangguhkan perintah pembebasan Sajad pada prosiding pagi tadi.
  
Dalam penghakimannya, Raus berkata Mahkamah Persekutuan tidak boleh membenarkan penangguhan perintah pembebasan selepas seseorang itu berjaya dalam permohonan habeas corpus yang dikemukakannya.
  
"Kita akan menjadi negara yang pertama di dunia, jika bukan dalam Komanwel, yang berbuat demikian jika penangguhan perintah pembebasan ini dibenarkan," katanya.
  
Sajad ditahan di negara ini kerana melanggar undang-undang Imigresen Malaysia dan perintah penahanan itu berakhir hari ini.
  
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan perayu untuk menangguhkan perintah pembebasan Sajad.
  
Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan untuk memudahkan Kementerian Dalam Negeri mengekstradisi Sajad ke Amerika Syarikat.
  
Sajad dikehendaki Amerika Syarikat berhubung lebih 30 pertuduhan melanggar sekatan perdagangan terhadap Iran, pemalsuan dan penyeludupan barangan di daerah utara California.
  
Beliau kemudian memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi.
  
Mahkamah Tinggi, ketika membenarkan permohonan Sajad, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang memerintahkan lelaki itu diekstradisi ke Amerika Syarikat.
  
Bernama