KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek dalam pembunuhan Pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua tuduhan memiliki senjata api dan empat peluru hidup, dua minggu lalu.
Bagaimanapun Chew Siang Chee, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.
Bagi pertuduhan pertama, Chew didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Walther model PPK/S Cal.9mm Kurz/380ACP bersama satu magazine Walther yang menyalahi undang-undang di Peti Surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada 5.45 petang 3 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Chew, yang diwakili peguam Vincent Tey juga didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis 9mm (short) (S&B 9mm) tanpa lesen pada masa dan di tempat yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan memiliki senjata api tidak boleh dijamin dan memohon tarikh sebutan bagi penyerahan dokumen.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.
Selesai prosiding, tertuduh yang kelihatan sebak dilihat memeluk isteri dan anak lelakinya sebelum dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
Media sebelum ini melaporkan pemandu teksi itu dipercayai membawa suspek berhubung kes pembunuhan Hussain yang ditembak mati pada 29 Julai lepas.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment