Friday 11 October 2013

Dua Individu Bebas Tuduhan Minta & Terima Rasuah

SHAH ALAM: Dua individu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminta dan menerima rasuah selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman setahun penjara serta denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ghazali Cha membebaskan Azman Annhar, 47, dan Latifah Mahfodz, 48, kedua-duanya bekerja sendiri, daripada kedua-dua pertuduhan itu selepas mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mat Ghani Abdullah pada 10 Oktober 2011.
Ketika membuat keputusan itu, Ghazali berkata adalah tidak dipertikaikan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed disebut beberapa saksi semasa perbicaraan dan justeru, pihak pendakwaan seharusnya memanggilnya untuk memberi keterangan.
"Kegagalan pihak pendakwaan memanggil Abu Kassim untuk memberi keterangan merupakan satu kelemahan terhadap kes pendakwaan. Sehubungan itu, saya benarkan rayuan dan membebaskan kedua-dua perayu daripada sabitan serta hukuman," katanya.
Bagi tuduhan pertama, Azman dan Latifah didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Adnan Abd Mokhtar, 44, sebagai dorongan kononnya untuk diberi kepada penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan SPRM, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Adnan yang akan menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di atas tanah kerajaan Bukit Enggang, Hulu Langat.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Thoiba di Jalan 2, Batu 9, Cheras dekat sini, pada 10 malam, 14 Januari 2010.
Bagi pertuduhan itu, Azman dan Latifah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.
Mereka juga didakwa menerima suapan RM10,000 daripada Nur Aida Arifin, 27, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Starbucks Coffee di G31, Aeon Cheras Selatan Shopping Center, Hulu Langat, pukul 5.25 petang pada 18 Januari 2010.
Untuk pertuduhan kedua itu, Mat Ghani menjatuhkan masing-masing hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Mat Ghani memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh jatuh hukum dan jika mereka gagal membayar denda masing-masing, boleh dipenjarakan selama 10 bulan.
Azman dan Latifah masing-masing diwakili peguam Rusli Zain dan Feisal Mustafa sementara Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Roziza Sidek hadir bagi pihak responden.-BERNAMA

Pencerobohan Lahad Datu: Tian Chua Dapat Kebenaran Tangguh Perbicaraan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan permohonan anggota Parlimen Batu, Tian Chua bagi perbicaraan pertuduhan menghasut dihadapinya berhubung kenyataannya mengenai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai.
Tian Chua, 50, mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Sept yang menolak pemohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu.
Panel tiga hakim dianggotai Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan perintah itu.
Peguam yang mewakili Tian Chua, Latheefa Koya memohon penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang ditetapkan 16 dan 17 Oktober, sementara menunggu rayuan anak guamnya itu selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim tidak membantah permohonan itu.
Tian Chua, yang merupakan naib presiden Parti Keadilan Rakyat, menghadapi pertuduhan membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, didakwa melakukan kesalahan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew, Kuala Lumpur pada kira-kira 11 pagi, 1 Mac tahun ini.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 14 Mac tahun ini.Tian Chua dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya, jika sabit kesalahan.
Pada 12 April, beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya itu atas alasan pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang, berniat jahat atau dengan mala fide, bermotifkan politik dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan pertuduhan itu kekal dan tidak salah di sisi undang-undang.-BERNAMA