Tuesday, 30 June 2015

Kerajaan Tidak Sekat Media Lapor Isu 1MDB


Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 10:17 PM
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan mengetatkan kawalan ke atas media sebagai langkah untuk menutup mulut berhubung spekulasi dan isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata orang ramai masih membuat tuduhan terhadap kerajaan setiap masa, manakala spekulasi oleh media sama ada dalam arus perdana atau media sosial masih berterusan.

"Saya tidak fikir kerajaan mempunyai kuasa menghalang media daripada apa yang mereka mahu katakan. Kerajaan tidak akan mengetatkan kawalan ke atas media dan itu janji oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pameran dan Persidangan Keempat Peralatan Polis (GPEC) Asia 2015 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa siasatan terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Andre Justo, yang kini ditahan di Thailand, adalah satu langkah menutup mulut media untuk mewajarkan bahawa kerajaan tidak perlu menjawab mengenai isu 1MDB pada masa akan datang.

Anwar Ibrahim Fail Aduan Qazaf Terhadap Muhammad Shafee


Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2015 3:21 PM
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.
Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memfailkan aduan itu bagi pihak suaminya di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini.
Dr Wan Azizah berkata, aduan qazaf itu dibuat berikutan tindakan Muhammad Shafee yang menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.
"Laporan ini dibuat demi menegakkan keadilan dan hak Anwar yang telah dijadikan mangsa dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan peribadi beliau," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri anaknya Nurul Izzah dan beberapa pimpinan PKR lain.
Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, mendakwa Muhammad Shafee mengeluarkan kenyataan itu dalam program dialog terbuka anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 17 Februari lepas.
Muhammad Shafee merupakan ketua pendakwa raya dalam kes liwat II Anwar.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mendapati Anwar bersalah terhadap tuduhan meliwat Saiful Bukhari pada 2008 dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

PKR tekan bos MARA isu skandal hartanah



Tidak bertindak ke atas pembelian empat hartanah di Melbourne, Australia oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa, sekali lagi dipersoalkan, kali ini oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Annuar sepatutnya melancarkan siasatan segera selepas lawatan rasmi beliau ke Melbourne pada 20 Mei tahun lalu, bukan hanya dua bulan lalu, kata Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan, hari ini.

Memetik kata-kata "orang dalam" di satu taklimat yang dikatakan dihadiri oleh Annuar di Melbourne, Rafizi berkata ia didedahkan bahawa pembelian empat hartanah tersebut melibatkan tujuh syarikat di Kepulauan Virgin British, Labuan, Singapura dan Australia.

Syarikat tersebut bertindak sebagai "lapisan" untuk pengantara yang dikaitkan dengan Mara Incorporated Sdn Bhd, yang menurut Rafizi sepatutnya mencetuskan syak wasangka.

SPRM digesa siasat PM dakwaan 1MDB danai PRU13



Beberapa NGO hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung laporan yang mendakwa dana 1MDB digunakan untuk membiayai kempen perdana menteri dalam pilihan raya umum lalu.

Mereka juga mahu Genting Plantations Bhd dan Yayasan Rakyat 1 Malaysia disiasat oleh badan berkuasa tersebut susulan laporanWall Street Journal(WSJ) bertarikh 19 Jun.

Laporan itu menyebut SPRM perlu menyiasat sama ada Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya bagi membolehkan dana itu disalurkan untuk membiayai kempen pilihan raya itu.

Antara NGO yang membuat laporan itu, NGO Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) and Transparency International Malaysia (TI-M).

"Sekiranya apa yang dilaporkan oleh WSJ adalah benar, maka siasatan lengkap perlu dijalankan. Mereka tidak boleh buat sesuka hati dengan wang kita.

"Jika ia benar bahawa 1MDB ada kena mengena dengan pilihan raya umum ke-13, maka kita perlu mengetahui perkara ini," kata Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.