Wednesday, 22 April 2015

Sirul mungkin dibayar untuk tuding Najib?



Ketika kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Razak belum menampakkan tanda akan berhenti, sebuah laman web pro-Umno membangkitkan kemungkinan bekas perdana menteri itu akan bekerjasama dengan Sirul Azhar Umar.

Menurut penulis di mykmu.net, tidak mustahil bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh itu dibayar untuk menuding jari kepada Najib.

"Melihat kecenderungan Tun Mahathir cuba masuk campur dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantunya Shariibu sebelum ini, termasuk berjumpa keluarga salah seorang pembunuh wanita tersebut Sirul Azhar Umar, tidak mustahil selepas ini Sirul akan dibayar untuk mengaku penglibatan Datuk Seri Najib dalam pembunuhan tersebut.

Kepada Sirul, baginya sudah tidak ada rugi apa-apa sebab hukuman mati telah pun dijatuhkan.  Kalau kerajaan Australia menerima permohonannya untuk kekal di negara itu, lagilah ramalan ini akan menjadi kenyataan kerana hidup di Australia memerlukan wang," kata penulis kolum berkenaan.

Sebelum ini MyKMU.net meramalkan Dr Mahathir akan menyasarkan kritikannya kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Manor.

Semalam, untuk kali pertama Dr Mahathir menyebut mengenai Rosmah untuk kali pertama dalam blog beliau.

Terdahulu, Dr Mahathir menggesa polis menyiasat dakwaan Sirul bahawa dia bertindak membunuh Altantuya atas arahan seseorang.

Kata penulis berkenaan, persoalan sama ada pengakuan Sirul itu nanti betul atau salah tidak penting kerana yang utama ialah menimbulkan persepsi dan menyokong "dakwaan palsu" Dr Mahathir bahawa Najib pemimpin yang banyak skandal.

Lagi pun, katanya, di Malaysia ini persepsi sentiasa mendahului fakta dan Dr Mahathir sangat maklum mengenai hakikat itu.

"Sama ada telahan ini akan (sekali lagi) menjadi kenyataan atau tidak, hanya masa yang akan menentukan.  Tapi percayalah, tidak ada apa yang mustahil bila bercakap tentang orang pada usia Dr Mahathir sekarang. Penulis pernah tengok lebih teruk daripada itu pun," katanya.
 

'Saya tak akan campuri jika abang disiasat'



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berikrar tidak akan campur tangan jika polis membuat siasatan terhadap abang beliau berhubung protes di luar gereja di Taman Medan, Petaling Jaya.

"Setiap laporan polis yang dibuat (berkaitan protes), akan kita siasat... Saya tidak risau kalau abang saya juga akan diambil tindakan.

"Saya tidak akan mencampuri siasatan polis

"Saya amat profesional, sentimen adik beradik tidak akan mempengaruhi (saya)," katanya kepada pemberita Bukit Aman hari ini.

Abang Khalid, Abdullah hadir dalam protes pada Ahad yang melibatkan seramai 50 penduduk di Taman Medan, Petaling Jaya mendesak pihak gereja menurunkan salib.

Abdullah, yang juga pemimpin Umno cawangan, bagaimanapun menjelaskan kehadirannya sebagai orang tengah antara penduduk Taman Medan dan pihak gereja.

Sementara itu, Khalid turut menepis dakwaan bahawa beliau bersikap dwistandard dalam kes itu.

Syed Hamid: K'jaan perlu jawab Dr M



Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa kerajaan tampil menjawab segala dakwaan dikemukakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tulisannya di Facebook, Syed Hamid berkata, kerajaan tidak harus berdiam diri dalam perkara itu.

Katanya, perkara itu merupakan antara sembilan cabaran yang perlu dihadapi BN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Apakah cabaran BN untuk pilihan raya umum ke-14? Strategi tidak jelas. Kredibiliti dipertikai. Pendirian berbeza antara pemimpin. Jawapan kepada isu tidak meyakinkan. Pemimpin cenderung menunjukkan kemewahan.

"Soalan-soalan pokok Tun Mahathir tidak terjawab. Penggunaan media sosial yang meluas dan memihak kepada pembangkang.

"BN tidak ke depan dalam menyerang. Kelihatan lemah kerana BN sendiri tidak mantap," tulis Syed Hamid.

Tempo tumpu gaya hidup mewah Najib



Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Indonesia bakal disambut dengan laporan sebuah majalah paling berpengaruh di republik itu berhubung gaya hidup mewah beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rencana bertajuk “Hidup mewah sang perdana menteri” itu ditampilkan dalam laporan khas majalah Tempo sempena ulangtahun ke-60 Persidangan Asia Afrika yang akan dihadiri Najib, Khamis.

Tempo antara lainnya memetik laporan The New York Times, yang menyebut mengenai minat Rosmah pada beg tangan mewah dan barang kemas.

Dalam laporan semuka penuh itu, majalah tersebut turut menggariskan kegemaran Najib dan Rosmah pada jam tangan mewah, seperti ditunjukkan oleh NGO pemantau jenayah Malaysia, MyWatch.

Tempo malah menyebut bahawa Rosmah memiliki sekurang-kurangnya empat jam tangan mewah, sedangkan gaji suaminya hanya sekitar RM350,000 setahun.

“Gaya hidup Najib dan keluarganya itu memancing kemarahan masyarakat Malaysia,” laporan itu dipetik.

Selain itu, laporan tersebut juga membangkitkan mengenai bayaran RM1,200 untuk dandanan rambut Rosmah.

Tidak ketinggalan, isu harta yang diraih anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli apartmen mewah di New York dan rumah mewah di Beverly Hills.

Akhbar gelapkan isu gaya hidup Rosmah



Kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai gaya hidup ‘mewah’ Datin Seri Rosmah Mansor tidak mendapat tempat semua akhbar berhabasa Melayu dan kebanyakan akhbar harian berbahasa Inggeris.

Kenyataan Dr Mahathir dalam blognya itu hanya dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris The Sun dan akhbar Cina.

Sejak 2 April lalu, Dr Mahathir mengulangi desakannya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur berdepan dengan pelbagai tuduhan.

Antaranya, isu motif di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shariibuu, peranan Jho Low dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembelian jet baru kerajaan yang mewah dan sumber kekayaan Najib.

Menulis di blognya semalam, Mahathir meneruskan siri serangannya dengan berkata terdapat banyak perkara mengenai tingkah laku Najib yang "tidak betul".

“Tetapi saya sedia mengabaikannya, termasuk gaya hidup mewahdia dan isterinya,” tulisnya dalam blognya chedet.cc.

Kenyataan itu dipercayai yang pertama dibuat seorang tokoh utama dalam parti pemerintah mengakui Najib dan Rosmah menjalani hidup mewah.