Friday 20 December 2013

Anggota Majlis MPSJ Didakwa Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM: Seorang anggota majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 19 pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2010.
Hamdan Ismail, 50, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kelulusan berhubung cadangan Syarikat Alam Muhibbah Enterprise, yang dikendalikan anaknya, Yuwafee Heidi, bagi melaksanakan kerja membina bonggol premix di Jalan LEP 6 dan Jalan PP1 serta membaik pulih jalan di Taman Equine, Seri Kembangan berharga RM19,790.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat MPSJ di Subang Jaya pada Februari 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 19 bertarikh 3 Disember 2009 yang palsu, sebagai tulendi Bahagian Khidmat Komuniti Kompleks 3C, MPSJ Subang Jaya pada 3 Disember 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 denganseorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lokman Kasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Perbicaraan Kes Saman Anwar Terhadap Anifah Ditetapkan 8 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menetapkan tiga hari bermula 8 April depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Kes saman itu berhubung kenyataan menteri berkenaan dalam satu sidang akhbar di Washington empat tahun lalu.
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Syed Ismat Syed Muhamad yang mewakili Anifah, dan peguam Masturina Mohamad Rodzi yang mewakili Anwar.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Januarilepas memerintahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untukdibicarakan.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Anwar bagimenghidupkan semula saman sivil beliau terhadap Anifah atas kapasiti peribadimenteri itu.
Pada 6 Januari 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman berhubung kenyataan yang dibuat menteri itu pada Mei 2009 semasa sidang akhbar di Jabatan Negara di Washington.
Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi beliau dan kerajaan Malaysia atas dakwaan menteri itu memfitnahnya dalam sidang akhbar Anifah bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton.
Beliau mendakwa kenyataan Anifah tidak berasas dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA