Tuesday 24 March 2015

Protes GST Di Kompleks Kastam Kelana Jaya Satu Pencerobohan - KPN


Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 7:44 AM
Khalid Abu Bakar
Tan Sri Khalid Abu Bakar
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Mereka yang terlibat menyerbu masuk ke Kompleks Kastam di Kelana Jaya ketika mengadakan demonstrasi membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Selangor sedang meneliti kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini merupakan satu pencerobohan yang mereka lakukan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dulu kedudukan mereka terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yassin sempena Peringatan Hari Polis yang ke-208 di Masjid Bukit Aman, di sini, malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mereka yang terbabit dalam protes GST yang ditahan selepas bertindak menyerbu masuk ke kompleks berkenaan pagi tadi.

3 pekerja BFM disiasat isu video hudud



Polis hari ini merakamkan kenyataan daripada tiga kakitangan BFM yang terlibat dalam penerbitan video kontroversi berkaitan hudud.

Pasukan polis tiba pada jam 10 pagi tadi, diikuti pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Mereka disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata radio perniagaan itu dalam kenyataannya.

Seksyen 298 berkaitan kata-kata yang menjejaskan perasaan beragama seseorang.

Seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya,

Seksyen 233 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan jaringan, yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau penjara RM50,000.

“Pengurusan BFM Media Sdn Bhd menyokong penuh pekerja-pekerja dalam melaksanakan tugas mereka.

“Radio stesen ini mempertahankan mereka dan tetap komited memberikan sokongan diperlukan mereka pada masa-masa sukar,” kata BFM.