Saturday, 24 August 2019

Bicara kes 1MDB-Tanore Najib mula Rabu ini

KES NAJIB | Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak, akan bermula Rabu ini selepas beberapa kali penangguhan.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’, bermula pukul 9.30 pagi, 28 Ogos.
Bekas perdana menteri itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan SRC masih berjalan pada pagi ini dengan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas saksi terakhir.
"Muhammad Shafee mungkin memerlukan satu setengah jam untuk menyelesaikan pemeriksaan balas manakala pendakwaan pula memerlukan dua jam lagi untuk pemeriksaan semula," katanya dan menambah bahawa pendakwaan memerlukan setengah hari untuk menyelesaikan kes SRC itu.