Friday, 31 October 2014

Ku Li gesa kerajaan tangguh GST



Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menurutnya akan menyusahkan lagi rakyat.

"Besar kemungkinan pelaksanaan GST pada tahun hadapan akan menambahkan lagi tekanan terhadap kos sara hidup walaupun kesannya sekali sahaja kerana ia diserap oleh keseluruhan sistem ekonomi.

"Demi melegakan beban kewangan rakyat yang semakin meningkat, mungkin GST ini boleh ditangguh sehingga keadaan ekonomi meningkat ke tahap yang lebih kukuh dan kuat," katanya.

Badan Peguam Jelaskan Isu Berkaitan Resolusi Ke Atas Bekas Hakim


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 7:33 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia menegaskan, pendirian mereka berhubung bekas hakim kembali beramal sebagai peguam dan menghadiri prosiding mahkamah adalah sama sepertimana resolusi yang diputuskan pada mesyuarat agung mereka yang ke-68, 15 Mac lalu, demikian kata presidennya,Christopher Leong pada lewat Khamis.
Dalam resolusi tersebut, para peguam memutuskan bahawa bekas-bekas hakim dari mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) haruslah dilarang atau dikawal oleh undang-undang daripada bertindak sebagai peguam di mahkamah.
Dan untuk mencapai objektif tersebut, mesyuarat agung Badan Peguam Malaysia meminta Majlis Peguam Malaysia mengemukakan syor kepada Pejabat Peguam Negara agar satu pindaan ke atas Akta Profesion Guaman 1976 dibuat dengan segera di parlimen.

Bunuh Pensyarah Dan Bapa: Tiga Bekas Pelajar Ke Tali Gantung


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 7:34 PM
Tiga bekas pelajar sebuah kolej antarabangsa, Mohamad Zul Sharil Suhaimi, Mohamad Sharafe Matt Noh dan Azizi Aizat Ibarahim dibawa keluar oleh anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati, oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis. Mereka didapati bersalah kerana membunuh pensyarah Zara Eleena,23, dan bapanya Omar Peter Abdullah,56, dua tahun lalu.
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Tiga bekas penuntut Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Khamis selepas didapati bersalah membunuh pensyarah mereka, Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat didakwa membunuh Zara Eleena, 23, seorang kelainan upaya (OKU) dan pensyarah Bahasa Inggeris di KTAC, antara 1.30 pagi dan 2.30 pagi pada 9 Mac 2012.
Mereka juga didakwa membunuh bapa pensyarah itu, Omar Peter, 56, pesara syarikat kewangan antara 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.

Dua Lelaki Ditembak Mati Disyaki Anggota Pemberontak Sulu


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 11:28 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditembak mati oleh polis di Penampang Baru, Sabah pada Khamis dipercayai anggota pemberontak tentera Sulu, lapor Bernama.

Sebelum ini, kedua-dua individu itu disyaki perompak bersenjata yang terlibat dengan insiden berbalas tembakan dengan polis kira-kira pukul 4 petang.

Seorang wanita turut ditahan dalam insiden itu.

Keadaan di Penampang Baru kembali normal pada pukul 9.15 malam dan laluan yang dikepung dibuka untuk orang ramai.

Terdahulu, polis mengekori kedua-dua suspek sebelum menahan mereka di hadapan beberapa bangunan kedai untuk pemeriksaan.

Beberapa saksi memberitahu terdengar bunyi tembakan selama seminit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari meninggalkan lokasi itu.