Tuesday, 4 August 2015

Pengarah SPRM bayangkan mungkin ada 'tangan tersembunyi'



Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Mohamad Zin membayangkan kemungkinan wujud 'tangan tersembunyi' di sebalik tindakan polis sekarang.

Bahri berkata demikian kepada pemberita selepas disoal siasat oleh pasukan polis dari Bukit Aman di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Beliau menegaskan bagaimana SPRM telah menyiasat isu SRC International "siang dan malam" dan tiba-tiba ada tangkapan.

"DPP kami (Ahmad Sazalee Abdul Khairi) diambil pada jam 1 pagi (Sabtu)," katanya sambil menambah bahawa langkah itu amat mengherankannya.

"Saya rasa pihak polis tak buat kerja gila macam ni kecuali ada pihak yang mengarahkan sedemikian," katanya.

Selain Ahmad Sazalee, polis turut menahan bekas penasihat SPRM, Tan Sri Rasphal Singh dan seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

Menurut polis, Rashpal dan Jessica telah ditahan berkaitan dengan laporan yang dibuat terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ketiga-tiga telah pun dibebaskan.

Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama tiga jam bercakap dengan Bahri hari ini.

Bahri beredar dengan tergesa-gesa dan hanya bercakap sekejab kepada wartawan yang hadir.

Bahri juga menafikan yang beliau telah ditukar tugas atau bercuti berhubung dengan siasatan pasukan petugas khas itu.

Polis soal siasat pegawai SPRM keempat



Polis telah mengambil keterangan dari seorang lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Tuan Roslan Tuan Mat - berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kebocoran dokumen sulit kerajaan.

Roslan adalah pegawai SPRM yang keempat yang disoal siasat berikutan penangkapan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalee Abdul Khairi pada pagi Sabtu.

Roslan telah disoal siasat selama lebih dua jam di ibu pejabat polis daerah Putrajaya malam tadi mengenai kebocoran draf kertas pertuduhan dari siasatan pasukan petugas 1MDB.

Sebelum itu, polis mengambil keterangan daripada Pengarah Operasi khas SPRM, Bahri Mohamad Zin (gambar) dan pengarah forensik SPRM IG Chandran, masing-masing selama tiga jam.

Menurut Bahri, beliau telah disiasat di bawah Seksyen 124b Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

Polis setakat ini tidak memperincikan mengapa mereka menyoalsiasat para pegawai tersebut, tetapi difahamkan keempat-empat mereka terlibat dalam siasatan SPRM terhadap SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan 1MDB.

'Satu-satunya penyelesaian, tubuh RCI bebas'



Semua siasatan yang sedang berjalan terhadap skandal 1MDB tidak lagi boleh dipercayai kerana rakyat tidak lagi percaya kepada mereka, walaupun jika hasil siasatannya mungkin benar, kata seorang pemimpin Pemuda BN.

Oleh itu, sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu, kata Timbalan Pengerusi Pemuda Gerakan, kepada Malaysiakini hari ini.

Secara umumnya, tegas beliau, rakyat Malaysia, terutama mereka yang berpendidikan dan tanpa kepentingan diri, tidak akan percaya laporan siasatan atau keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, Peguam Negara ataupun  polis - walaupun jika hasil penemuan siasatan adalah benar.

Oleh itu, tambahnya, satu-satunya penyelesaiannya ialah dengan menubuhkan sebuah RCI benar-benar bebas.

Yong (gambar) berkata, anggota RCI yang menyiasat 1MDB itu harus dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, hakim, ahli perniagaan dan rakyat biasa.

Katanya, pemilihan yang adil dan telus boleh dibuat melalui sistem pemilihan juri di mahkamah atau mengundi dengan bilangan ahli Parlimen yang sama dari kedua-dua belah pihak politik.

Menurut Yong lagi kejujuran adalah dasar yang terbaik.

Semalam, SPRM mengumumkan yang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak adalah sumbangan penderma dan bukan dari akaun 1MDB.

Ekoran itu, pengguna media sosial meluahkan kekecewaan mereka melalui Twitter, dan menjadikan hashtag #DearNajib salah satu topik utama trending semalam.