Saturday 19 December 2015

'Hakim tak boleh takut'




 Geraldine Tong      Hari ini, 8:00 malam      Hari ini, 8:12 malam
Hakim tidak boleh takut menerapkan kebebasan supaya dihormati walaupun berdepan dengan eksekutif "berkuasa" kata Tan Sri Mohd Hishamudin Mohd Yunus.
Menurut bekas hakim mahkamah rayuan itu seseorang hakim mesti cukup berani dan benar-benar besar bertindak dalam membuat keputusan.
"Apakah yang dimahukan seseorang hakim? Adakah mereka mahu dihormati atau mereka mahu dipandang rendah oleh rakyat?
"Memanglah ada eksekutif berkuasa perlu dihadapi yang berkuasa membuat lantikan, menaikkan pangkat, malah memecat hakim seperti dalam kes Tun Salleh Abbas, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah," katanya di satu forum anjuran Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan dibuat Mohd Hishamudin itu merujuk kepada krisis perlembagaan negara pada 1988 ketika Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, kata Mohd Hishamudin, kewujudan eksekutif berkuasa bukan alasan untuk seseorang hakim tidak melaksanakan keadilan secara bebas.
"Seorang pak turut tak boleh menerima pelantikan sebagai hakim," katanya.

Wednesday 2 December 2015

Sijil, Transkrip UTM Palsu, Ketua Jabatan Fasiliti KLIA Didakwa


Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2015 4:09 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang ketua jabatan fasiliti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan menipu Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) berhubung salinan sijil dan transkrip palsu, tahun lepas.

Faizal Noh, 40, didakwa menipu pihak LJM dengan mengemukakan salinan Sijil Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dan transkrip keputusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor yang mana tertuduh tahu bahawa salinan sijil dan transkrip tersebut adalah palsu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Sultan Salahuddin di sini, pada 3 April 2014 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff menawarkan Faizal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin namun, peguam A. Krishnaveni yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung isteri dan anak-anaknya.


Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Hukuman Lebih Berat Terhadap Ibu Bapa, Penjaga Kanak-Kanak Yang Cuai - Rohani


Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2015 5:51 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan memberi hukuman yang lebih berat kepada ibu bapa dan penjaga yang cuai dalam penjagaan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kementerian memandang serius kes-kes kecuaian melibatkan penjagaan kanak-kanak dan kerana itu hukuman itu perlu dikuatkuasakan kelak untuk memberi pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ini satu pencegahan supaya tidak berlaku lagi pengabaian dan penganiayaan kepada kanak-kanak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Rabu.
Menurutnya, jika rang pindaan itu diluluskan, hukuman denda pemenjaraan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 itu akan dinaikkan dari denda RM20,000 kepada RM50,000 dan penjara dari 10 tahun kepada 20 tahun.
Rohani berkata selain perkara tersebut, pindaan itu juga akan memansuhkan hukuman sebatan kepada kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah yang sebelum ini diputuskan mahkamah.
Beliau berkata, Perintah Khidmat Masyarakat turut diperkenalkan di dalam rang itu untuk dilaksanakan ke atas kanak-kanak yang melakukan jenayah, pesalah dewasa yang mendera atau mengabai kanak-kanak.