Wednesday 29 January 2014

Sebutan Semula Kes Tuhan Harun Ditetapkan 27 Februari

KUANTAN: Mahkamah Tinggi Kuantan di sini menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat bersama tiga pengikutnya yang dituduh membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abd Malek.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Khamizah Salleh mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk membicarakan serentak kes bunuh dan bersubahat membunuh.
Peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili kesemua tertuduh iaitu Harun, 47, isterinya, Azida Mohd Zol, 30, serta pengikutnya, Sumustapha Suradi, 39, dan Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada pihaknya bagi memudahkan persiapan kes pembelaan.
Pada 16 Disember tahun lepas, Sumustapha, berasal dari Sabah mengaku tidak bersalah membunuh Ahmad Raffli, 49, di hadapan rumah mangsa di Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota di sini pukul 1.50 tengah hari 10 Nov lepas bersama dua lagi yang masih bebas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Harun, Azida dan Shaizral Eddie Nizam juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas, bersetuju melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada waktu dan tempat yang sama yang bertentangan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120B (1) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Dengar Rayuan Kedua Anwar Ketepikan Shafee 11 Februari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada 11 Februari rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau untuk mengetepikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Izzudin Mohamad menetapkan tarikh baharu itu di dalam kamarnya hari ini apabila perkara berkenaan dibawa kepadanya bagi tujuan pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata sebelum ini, rayuan itu ditetapkan untuk didengar hari ini, tetapi terpaksa ditunda kerana tarikhnya tidak sesuai dengan peguam Tommy Thomas yang mewakili Anwar.
Katanya berikutan itu, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran.Peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor hadir bagi pihak Anwar pada prosiding pengurusan kes itu.
Pada 20 Disember tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar dan memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang.
Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan pemimpin pembangkang itu daripada tuduhan liwat dengan menggunakan maklumat daripada perisytiharan berkanun yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim untuk menyokong permohonannya.
Permohonan pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas, dan berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, tetapi turut ditolak.
Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominimum Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pelantikan Muhammad Shafee, seorang peguam terkenal, dibuat melalui kuasa Peguam Negara mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Aturcara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 12 dan 13 Februari untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan itu. - BERNAMA