Monday 2 March 2015

Himpunan 'Kita Lawan' 7 Mac tembusi global



Selain di Kuala Lumpur, himpunan solidariti terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat pada 7 Mac ini, juga akan diadakan di beberapa buah negara.

Sekretariat #KitaLawan mengalu-alukan keprihatinan dan inisiatif rakyat Malaysia khususnya anak muda yang berada di luar negara, menganjur perhimpunan itu, sekurang-kurangnya di enam negara pada waktu tempatan.

Antara lokasi perhimpunan itu ialah Old Palace Yard, London - berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom; di depan Bangunan Parlimen Australia, di Canberra, di depan Parlimen South Australia, di Adelaide dan di Liberty Square di Taipei, Taiwan.

Misi 'C4 yourself' ibu Sirul ke Australia



Piah Samad, ibu kepada Sirul Azhar Umar, yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, berlepas ke Australia untuk menemui anaknya malam ini.

Kali terakhir Piah,74, bertemu Sirul dikatakan ketika Mahkamah Rayuan membebaskan anak keempatnya itu daripada tuduhan.

Piah bersama anak perempuannya Noriatin Umar tiba di KLIA pada jam 9 malam tadi.

Turut hadir bersama adalah Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, pemimpin pusat PAS Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan pembantunya serta seorang peguam.

Sementara itu,  Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, yang menguruskan penerbangan itu berkata beliau berharap pemergian mereka ke negara kanggaru itu tidak dilihat sebagai ancaman kepada mana-mana pihak.

'Tak perlu ulang, saya tak akan minta maaf'



Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata beliau tidak akan memohon maaf atau melayan gesaan kumpulan dalam badan itu, dikenali G100, yang tidak berpuas hati dengannya.

Kumpulan itu mendakwa mewakili sekurang-kurangnya 100 peguam yang menuntut Leong memohon maaf kerana menyifatkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan satu "penganiayaan".

“Hanya kerana mereka ulang (gesaan) tidak bermakna saya pun kena ulang.

“Saya sudah ulas semasa Tahun Baru Cina minggu lalu,” kata Leong kepada Malaysiakini.

G100 semalam mengeluarkan kenyataan meminta Leong menarik balik kenyataan itu dan meletakkan jawatan jika gagal memohon maaf kerana didakwa mengelirukan orang awam.