Thursday 25 June 2015

Polis Australia buat serbuan kes skandal MARA



Polis Persekutuan Australia dilaporkan mengadakan serbuan di Melbourne berhubung pembelian hartanah yang didakwa dikaitkan dengan ahli politik Malaysia.

Akhbar harian Australia The Age hari ini melaporkan pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah di Vermont Selatan, Melbourne pagi ini dan merampas komputer dan fail bagi membantu siasatan mereka.

Serbuan itu adalah sebahagian Operasi Carambola bagi menyiasat skim yang didakwa "melibatkan rakyat Malaysia menggunakan hartanah bernilai berjuta dolar Australia untuk melabur wang dan mengembalikan 'sogokan' kepada Asia," kata laporan itu.

Skim itu didakwa melibatkan MARA, dan mengundang desakan supaya Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dipecat.

'Pembelian aset MARA lain libatkan sogokan?'



NGO Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW) hari ini meminta kerajaan memberi penjelasan sama ada pembelian tiga hartanah yang lain di Australia oleh MARA Inc turut melibatkan sogokan.

Ia berikutan laporan akhbar Australia The Age mendakwa anak syarikat Majlis Amanah Rakyat itu membuat pembelian apartmen "The Dudley" di Melbourne dengan harga yang tinggi dan lebihannya disalurkan kembali kepada pegawai MARA sebagai sogokan.

"Sekiranya tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas, perdana menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan ratusan juta ringgit wang amanah rakyat," kata pengarah NOW Rafizi Ramli dan Akmal Nasir dalam kenyataan media bersama.

Rafizi merupakan ahli parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR manakala Akmal merupakan pengarah strategi AMK.

Mereka berkata siasatan NOW turut menemui tiga pembelian hartanah oleh MARA Inc selain daripada The Dudley iaitu di 746 Swanston Street, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street.

Justeru, kedua-duanya memohon penjelasan sama ada jumlah pembelian kesemua hartanah itu dilakukan dengan harga yang munasabah atau sebaliknya.

"Jika benar, adakah jumlah urus niaga empat hartanah ini menelan belanja RM244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga munasabah atau pada harga yang dinaikkan?," soal mereka.

Akhbar The Age menganggarkan harga hartanah di Swanston Street bernilai A$23.5juta manakala hartanah di Queens Street dan Exhibition Street pula jika digabungkan bernilai A$40 juta.

Rafizi dan Akmal turut mempersolkan mengapa MARA mempunyai syarikat yang didaftarkan didaftarkan di kepulauan British Virgin sebagai tempat untuk berlindung daripada cukai dalan kes pembelian hartanah.

Pada masa yang sama, mereka mempersoalkan mengapa syarikat tersebut tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia.

Semalam The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia untuk membida harga blok apartmen Dudley International House daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juta (RM65juta) dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanah air. 
 

Kemunculan parti Islam baru untuk semua?



Malaysia tidak lama lagi bakal menyaksikan kelahiran parti Islam baru yang akan membuka pintu kepada semua rakyat tidak mengira kepercayaan dengan syarat mereka bersetuju dengan perjuangan terasnya.

Ini akan menjadi menjadi kenyataan sekiranya PAS tidak memenuhi pendekatan inklusif yang dibina pada masa ini, kata MP Shah Alam.

Tidak seperti PAS, kata Khalid Samad, objektif parti baru itu antara lain lebih kepada memerangi rasuah dan menegakkan keadilan.

Bercakap kepadaMalaysiakini, beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat  berkata parti itu masih berpandukan kepada prinsip-prinsip Islam.

"Pendekatan kami lebih inklusif. Kami mahu semua kumpulan orang Islam dan bukan Islam bersama-sama kami dan menentang rasuah. Inilah apa yang (Allahyaham bekas presiden) Datuk Fadzil Nor bawa.

"Ia adalah perjuangan Islam berdasarkan kepada prinsip Islam. tetapi jika bukan Islam bersedia untuk menerima asas perjuangan, maka tidak ada masalah (mereka untuk menyertainya)," katanya.

Tidak seperti pemimpin PAS yang lain, Khalid lebih jelas menceritakan mengenai inisiatif baru itu sebagai parti politik yang sedang dalam penubuhan sedangkan pemimpin lain memilih menggunakan perkataan 'platform'.

Ditanya sama ada kumpulan pemimpin progresif yang dikenali G18 mahu menubuhkan parti baru, Khalid berkata:

"Ya, besar kemungkinan jika ia tidak memenuhi visi pendekatan yang inklusif yang dibina pada masa ini.

"Jika ia mula menjadi lebih pendiam, lebih nak halau orang keluar keluar, nak yang suci murni saja bersama dia, maka sudah tentu pendekatan itu (tubuh parti baru) kami mahu," katanya.

Perincian mengenai parti itu masih di peringkat awal, kumpulan pemimpin progresif itu merancang untuk menarik sokongan profesional, aktivis, pemimpin NGO Islam atau bukan Islam.