Wednesday 1 July 2015

'Menuju ke arah parti baru Islam progresif '



WAWANCARA Ekoran ketidaktentuan mengenai masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat, anak seorang bekas presiden parti itu berharap parti baru jika diwujudkan, akan menerima orang Islam dan bukan Islam sebagai ahlinya - selagi mereka menyokong dasar perjuangan Islam dan dibenarkan untuk mengundi dalam parti itu.

Harapan ini disuarakan oleh Faiz Fadzil, 38, anak kepada Allahyarham Datuk Fadzil Noor, yang menjadi presiden PAS sesi 1989-2002.

"Bagi saya, dasar perjuangan Islam mesti ada, dan ia lebih bersifat pragmatik, progresif dan inklusif semua kaum. Tidak ada paksaan untuk memeluk Islam tapi ada individu yang melihat kepada baiknya Islam dan dia boleh sertai (parti baru itu)," katanya.

Menurutnya, Islam adalah sebuah agama yang lengkap dan harus melihatnya dalam konteks pentadbiran, keadilan, urus tadbir yang baik dan kebajikan rakyat dan bukan semata-mata hudud.

"Bagi ahli-ahlinya, ia mestilah inklusif dan buka keahlian kepada umat Islam, dan bukan Islam yang menyokong dasar perjuangan Islam. Sebelulm ini PAS pun buka DHPP, satu sayap yang menyokongnya (tapi), ia tak buka keahlian.

"Parti baru ini, saya berharap, akan membuka keahliannya kepada bukan Islam, yang juga harus dibenarkan untuk mengundi," kata Faiz dalam wawancara dengan Malaysiakiniminggu lepas.

Faiz, yang mengendalikan firma guamannya sendiri di Negeri Sembilan, berkata pada masa ini penyokong bukan Islam dalam PAS tidak dibenarkan untuk mengundi dan tidak diberi apa-apa jawatan dalam parti.

Katanya, ini kerana PAS tidak bersedia untuk membuka keahliannya kepada bukan Islam dan ini telah menyebabkan sayap penyokong PAS itu mempunyai peranan yang terhad.

"Bagaimanapun, dalam parti baru (saya cadangkan) orang bukan Islam diletakkan di dalam pentadbiran parti," kata Faiz, seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Faiz berkata beliau menyokong penubuhan parti baru oleh kumpulan progresif dalam PAS sekarang kerana kepimpinan PAS yang baru menunjukkan ia tidak mengubah pendirian tegas sejak mengambil alih kepimpinan parti itu bulan lepas.

Beliau berkata adalah menjadi satu kewajipan (bagi parti baru itu) untuk menampung jurang yang ditinggalkan oleh PAS dalam gabungan pembangkang.

Katanya, beliau menyokong penubuhan parti baru itu berdasarkan trend kepimpinan yang ada sekarang/

Siapa di belakang nombor plat mahal 'Patriot'?



Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) mensasarkan antara RM10 juta dan RM15 juta untung daripada jualan nombor plat kenderaan yang bermula dengan perkataan "Patriot"

Bagaimanapun, skim itu menimbulkan tanda tanya selepas lelongannya dibuat oleh sebuah NGO dan bukan kerajaan.

Lagi pula, harga permulaan untuk "Patriot 1" ditetapkan pada RM1 juta – paling mahal dalam sejarah Malaysia.

Laporan media menyebut bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kebenaran kepada YPN menjalankan bidaan. Nombor plat itu diperkenalkan bagi menyemai semangat patriotisme.

Timbalan Pengerusi YPN Datuk Nadzim Johan mengakui NGO itu turut mendapat faedah kewangan daripada skim itu, tetapi enggan menghuraikan lanjut bagaimana ia dikongsi dengan JPJ.

Beliau juga mendedahkan bahawa lima orang sedang mengintai nombor plat "Patriot 1". Ketika tulisan ini disediakan, bidaan sudah mencecah angka RM1.3 juta.

Setakat ini, bidaan nombor plat paling tinggi dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail yang membayar RM520,000 untuk mendapatkan "WWW 1" pada 2012.

Dua tahun kemudian, Sultan Ibrahim juga mendapatkan nombor “W1N” dengan bidaan bernilai RM748,000.

Tumor 4cm: PM arah rawatan untuk Anwar



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan rawatan wajar diberikan terhadap bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merengkok di Penjara Sungai Buloh.

“Saya ambil maklum kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya mahu pihak berkenaan memastikan beliau menerima rawatan sewajarnya,” kata Najib di Twintter hari ini.


Peguam Anwar hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mengeluarkan bekas ketua umum PKR itu bawah tahanan rumah bagi membolehkannya mendapat rawatan kesihatan.

Sivarasa Rasiah dan Jared Genser berkata kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan setelah susut berat badan 6 kilogram.

Mereka juga berkata terdapat ketumbuhan 4cm di buah pinggang Anwar, otot bahunya terkoyak serta masalah artritis kronik.

Perkara itu disimpulkan mereka selepas Anwar dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dua hari pada 2 Jun lalu.

Peguam Anwar berkata keadaan panas dan lembab dengan pengudaraan minimum memburukkan lagi masalah kesihatannya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan oleh mahkamah.