Monday 21 October 2013

Juruukur Bahan Didenda RM20,000 Hina Sultan Johor Menerusi FB



JOHOR BARU: Seorang juruukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah menulis komen menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook Oktober tahun lepas.
Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Abd Jalil, 28, yang berasal dari Klang, Selangor, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Dia didakwa membuat komen yang jelik dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 menggunakan nama profil 'Zul Yahya'.
Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di RD Resources Sdn Bhd, 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur, pukul 6 petang pada 10 Oktober 2012.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata, apabila dia mendakwa tidak memuat naik gambar, tidak menghantar khidmat pesanan ringkas dan menafikan kaitan dengan Facebook terbabit serta tidak mengetahui Ibrahim Osman.
Peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya tidak dihukum penjara dengan alasan Ahmad sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana manakala isterinya menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai 10 adik-beradik.
Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya memandangkan kesalahan Ahmad adalah serius dan Sultan Johor pula merupakan individu berkedudukan tinggi.
Keluarga tertuduh termasuk ibu dan bapanya hadir di mahkamah pada Isnin dan Ahmad membayar denda itu.
Tiga puluh saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula 5 Februari lepas. - BERNAMA

Bekas Pendaftar Dipecat Saman Kuin

ALOR SETAR: Bekas Pendaftar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) pada Ahad memfailkan writ saman terhadap bekas majikannya itu yang didakwa memecat beliau secara tidak sah kira-kira empat bulan lepas.
Dalam writnya, plaintif Datuk Latifah Hassan yang diwakili Tetuan Amar Hamidi & Co. menamakan Kuin sebagai defendan dan memberi tempoh 14 hari kepada defendan untuk memasukkan kehadiran.
Latifah, 62, berkata beliau mengambil tindakan itu kerana mendakwa pemangku Rektor Kuin, Datuk Che Barni Mohd Noor membuat keputusan secara bersendirian dan tidak mematuhi perlembagaan dan Jawatankuasa Perjawatan dan Perkhidmatan (JPP).
Katanya, beliau ditawarkan kontrak untuk tempoh dua tahun bermula 13 Disember 2012 sehingga 12 Disember 2014 namun defendan mengeluarkan satu notis penamatan perkhidmatan bertarikh 27 Jun 2013 yang berkuatkuasa 1 Julai 2013.
Dalam writ itu plaintif mendakwa amat terkejut dan kecewa dengan tindakan defendan menamatkan perkhidmatannya secara tiba-tiba tanpa sebab-sebab jelas.
Plaintif memohon kepada mahkamah deklarasi bahawa penamatan kontraknya oleh defendan sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang dan hendaklah dikembalikan jawatan.
Dr Latifah berkata beliau mengalami stres dan malu akibat tindakan defendan dan dengan itu menuntut kos dan ganti rugi teruk akibat penamatan kontrak serta relif-relif lain yang difikirkan patut dan sesuai oleh mahkamah.
Sebutan kes itu ditetapkan didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 24 November depan. - BERNAMA