KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali ekskalator di pasar raya di Bagan Serai berikutan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera pada bahagian kemaluan akibat tersepit di eskalator, Isnin lalu.
Pengendali itu akan dibawa ke mahkamah selepas didapati kemudahan yang dipasang itu tidak mendapat sijil sah layak menduduki (CF).
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Datuk Ir. Mohtar Musri berkata, pengendali yang menjalankan operasi ekskalator tersebut sedangkan tidak menyelenggaranya atau memperbaharui CF, akan berdepan dengan denda RM100,000 atau penjara dua tahun sekiranya didapati bersalah.
"Kita telah periksa peranti keselamatan yang dipasang pada ekskalator dan CF. Berdasarkan siasatan kita, mereka tidak mengikut peraturan.
"Kita akan menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara supaya tindakan dapat diambil," katanya.