Sunday 2 March 2014

Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kematian Ketua Wanita UMNO Felda Semenchu

KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki Melayu bagi membantu siasatan kematian Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Semenchu Zalifah Jamaluddin yang dipercayai disamun dan dibunuh pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata lelaki yang berusia 36 tahun dan tiada pekerjaan itu, ditangkap di dalam satu serbuan di sebuah rumah di Felda Semenchu dekat sini.
"Siasatan lanjut masih diteruskan," kata beliau ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada Sabtu.
Rahmat berkata hasil bedah siasat mendapati mayat mangsa mengalami kesan merah dalam mata kiri dan kanan, lebam pada bahagian dalam bawah bibir dan patah empat tulang rusuk kanan dan lapan tulang rusuk kiri berpunca dari tekanan benda berat dan tulang rapuh.

Rayuan Pendakwaan Terhadap Pembebasan Anwar 6-7 Mac

Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Jumaat menetapkan dua hari dari 6 Mac untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali menetapkan 6 dan 7 Mac bagi mendengar rayuan pendakwaan apabila perkara itu dihadapkan kepadanya bagi pengurusan kes di dalam kamar.
Hadir pada prosiding pengurusan kes itu ialah peguam Anwar, Karpal Singh sementara Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dan Muhammad Shafee Abdullah mewakili pihak pendakwaan.
Muhammad Shafee dilantik sebagai timbalan pendakwa raya secara ad hoc pada Julai tahun lepas oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengetuai pendakwaan dalam rayuannya.
Sementara itu, Karpal Singh memberitahu media bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan 3 Mac (Isnin) bagi mendengar permohonan kali ketiga Anwar untukmelucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan Anwar dalam kes dakwaan liwat itu.