Friday 16 August 2019

Najib kemuka keterangan baru untuk gugur Sri Ram sebagai DPP kes 1MDB



Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk mengemukakan keterangan baru dalam rayuan mereka untuk menggugurkan bekas akim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes mereka.
Muhammad Shafee memberitahu tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa mereka telah memfailkan notis usul semalam untuk memohon kebenaran untuk memasukkan surat pelantikan Sri Ram sebagai keterangan baharu dalam rayuan mereka.
Beliau berkata beliau diberi surat pelantikan Sri Ram pada 9 Ogos tahun ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Ogos yang membenarkan rayuan Najib supaya pihak pendakwaan mengemukakan surat pelantikan Sri Ram kepada pihak pembelaan.
Pada 7 Ogos lepas, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

Kenapa kita bergaduh kerana orang asing, soal Rafidah

Bekas menteri Rafidah Aziz kecewa kerana rakyat Malaysia saling mengecam antara satu sama lain kerana orang asing.
Dengan situasi dunia yang menurutnya berkemungkinan menuju ke arah kemelesetan ekonomi, Rafidah berkata rakyat Malaysia mesti bersatu dalam menghadapi cabaran.
"Saya hanya ingin bertanya - mengapa rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri disebabkan orang asing yang kini dicari oleh (pihak berkuasa) negaranya sendiri?" katanya.
Rafidah berkata demikian sebagai mengulas pertikaian berhubung pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang membuat kenyataan kontroversi dalam programnya di Kelantan minggu lalu.