Monday 30 March 2015

#KitaLawan: Polis Serbu Pejabat PKR


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 6:04 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Enam anggota polis menyerbu Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada petang Ahad dipercayai bagi mengambil barang bukti berkaitan perhimpunan haram #KitaLawan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mendakwa anggota polis berkenaan memecah masuk pintu pejabat Setiausaha Agungnya, Mohd Rafizi Ramli.

Ketika serbuan, Rafizi yang direman sejak Jumaat lalu untuk disoal siasat mengikut Akta Hasutan 1948 turut dibawa ke lokasi ditemani peguam dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan.

Dakwa Fahmi, antara barang yang dirampas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu ialah empat komputer, sepucuk surat pekeliling berkaitan perhimpunan #KitaLawan serta kenyataan media berhubung perhimpunan yang sama.

Lembaga Pengampunan Lupus Petisyen Kes Liwat Anwar


Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 11:00 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Petisyen pengampunan diraja berhubung hukuman penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difailkan keluarganya telah dilupuskan.

Bagaimanapun tidak dinyatakan status permohonan tersebut.

Ia hanya akan akan diumumkan dalam Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di sini pada Rabu depan, kata peguamnya N. Surendran.

#KitaLawan: Reman Ditolak, Khalid Samad Bebas


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 4:30 PM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan permohonan reman terhadapnya.

Peguam Michelle Yesudas menerusi Twitter memberitahu bahawa majistret Nurul Ain Abd Rahim turut menolak reman ke atas dua pelajar universiti yang ditahan berhubung perhimpunan sama.

"Dua pelajar universiti ditangkap semalam dan Khalid Samad bebas, reman ditolak," demikian tulis Michelle.

Pada awal pagi Ahad, Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata, Khalid ditahan di kediamannya di Shah Alam, kira-kira 3.20 pagi Ahad.