Tuesday, 30 July 2013

Mahkamah Kembalikan Semula Jawatan Satar Jaafar Sebagai Inspektor Polis

PUTRAJAYA: Satar Jaafar mendapat hadiah Hari Raya Aidilfitri lebih awal pada Selasa apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi Muar mengembalikan semula jawatannya sebagai inspektor polis.
Satar, 42, polis inspektor yang ditamatkan perkhidmatannya bukan sahaja tidak sabar-sabar untuk ke pejabat tetapi juga layak mendapat tunggakan gaji, kenaikan tahunan dan faedah-faedah lain selepas mahkamah menolak permohonan pengerusi lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketua polis negara dan kerajaan.
Satar ketika ditemui berkata sebelum ini ia adalah masa paling getir bagi beliau sekeluarga sejak pemecatannya kerana beliau terpaksa membuat kerja rencam sepanjang masa bagi menyara keluarga.
"Ia adalah hadiah terbaik dalam hidup saya terutama sebelum Hari Raya. Saya tidak sabar-sabar untuk kembali ke pejabat lama di mana saya biasa bekerja sebagai pegawai operasi di ibu pejabat polis kontinjen Johor Baharu," kata Satar.
Pada prosiding Selasa, lima panel diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dalam keputusan sebulat suara memutuskan tiada sebab bagi mahkamah tertinggi untuk mengganggu keputusan mahkamah rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 2011 yang mengembalikan semula jawatan inspektor polis.
Panel hakim itu juga memerintahkan kos RM10,000 kepada Satar dibayar para perayu.
Pada 13 Februari tahun ini, tiga anggota panel Mahkamah Rayuan menolak rayuan para perayu.
Pada 2004, Sattar menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin PDRM yang meminta penjelasan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya selepas beliau mengaku salah di Mahkamah Syariah Johor Baharu terhadap pertuduhan khalwat.
Sattar, dalam jawapannya antara lain, mendakwa Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ahmad Latifi Yaacob telah menasihatkan beliau agar mengaku salah terhadap pertuduhan di Mahkamah Syariah.
Pada Ogos 2004, Sattar telah digantung tugas namun dalam bulan Mac 2006, beliau menerima surat kedua daripada lembaga disiplin PDRM yang menyatakan dia dipecat daripada pasukan keselamatan itu mengikut peruntukan Peraturan 33(1) dan 38(g) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002.
Beliau memfailkan tindakan undang-undang terhadap perayu di Mahkamah Tinggi Muar untuk satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan lembaga disiplin PDRM serta pengembalian kedudukan jawatan tanpa kehilangan pangkat.
Satar diwakili G. Subramaniam, manakala perayu oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bol Hassan. - BERNAMA

Hare Krishnan Didakwa Sebabkan Kematian Dharmendran

Insp S. Hare Krishnan
KUALA LUMPUR: Insp S.Hare Krishnan didakwa di Mahkamah Majistret pada Selasa kerana menyebabkan kematian N.Dharmendran pada 21 Mei di pejabat Siasatan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kesalahan adalah di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dhamendran telah ditangkap pada 11 Mei kerana disyaki cuba membunuh melibatkan senjata api dan ditahan reman dari 12 Mei sehingga kematiannya pada 21 Mei.
Pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 22 Mei menunjukkan punca kematian disebabkan kecederaan pada tisu lembut kerana pelbagai daya ”trauma tumpul”.
Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia berkata pihak pendakwaan sedang menunggu laporan bedah siasat akhir dan bersedia untuk ke mahkamah pada Jumaat.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menetapkan 2 Ogos untuk sebutan semula kes.
Dia menyerah diri kepada polis pada pukul 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin, selepas enam minggu bersembunyi.
Sebelum ini, tiga anggota polis, Sjn Jaffri Jaafar, Kpl Mohd Nahar Abd Rahman dan Kpl Haswadi Zamri Sahari didakwa kerana membunuh Dharmendran pada 15 Jun.
Di luar mahkamah, isteri Dharmendran Marry Mariya Susay berkata Insp Hare Krishnan sepatutnya tampil lebih awal.
"Saya harap dia dapat bercakap pada sebutan akan datang, saya akan menunggu sehingga 2 Ogos ini dan melihat apa yang berlaku," katanya, yang mana peguam Latheefa Koya berdiri di sebelahnya.