Wednesday 4 January 2017

Bahri tak rela berkhidmat untuk 'sarang labah-labah'

Bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin, mengesahkan beliau memilih meninggalkan agensi penguat kuasa itu lebih awal kerana kecewa.
Bercakap kepada Malaysiakini, Bahri menjelaskan, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.
Lebih daripada itu Bahri yang pernah bersumpah dengan nama Allah apabila pegawainya ditahan polis berkata, beliau tidak lagi wajar berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah".
Ditanya apakah maksud kenyataan itu, Bahri menjelaskan, undang-undang labah-labah hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.
"Terlalu banyak wang yag hilang. Saya tak patut berkhidmat dalam undang-undang sarang labah-labah," katanya.
Pagi tadi Malaysiakini melaporkan Bahri mengambil keputusan bersara lebih awal daripada SPRM walaupun masih boleh berkhidmat tiga tahun lagi.
Beliau yang sebelum ini mengetuai Bahagian Siasatan Khas (BOK) di SPRM menjadi tumpuan ketika pegawai agensi terbabit menyiasat SRC International yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.