Thursday 30 July 2015

Polis siasat pihak ajak protes jalanan anti-PM



Polis akan menyiasat Datuk S Ambiga selepas dikatakan membuat kenyataan berhubung kemungkinan protes jalanan jika anggota parlimen tidak bertindak untuk menggantung pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan ini timbul selepas Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam, memberitahu Malaysiakini, bahawa beliau enggan menafikan laporan laporan berhubung perkara itu.

Dalam sidang media hari ini, Khalid meminta Ambiga menjelaskan sama ada beliau menyebut perkara itu.

Ambiga bagaimanapun berkata beliau tidak mahu berhubung dengan pihak polis melalui media.

“Saya mahu tahu artikel atau tweet mana dia (Khalid) rujuk. Saya tidak mahu berkomunikasi dengan dia melalui media,” katanya.

Khalid pula berkata beliau mahu memberikan peluang kepada Ambiga untuk menafikan perkara itu kerana mungkin terdapat kesilapan dalam laporan.

“Tetapi jika beliau tidak mahu menafikannya, jadi kita terpaksa bertindak,” katanya.

Beliau berkata laporan polis mungkin dibuat dan Ambiga akan disiasat bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Di Twitter pula, Khalid berkata polis akan bertindak terhadap pihak yang menggalakkan orang ramai turut ke jalan raya bagi mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

Najib tak layan ditanya tentang video bocor



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak layan soalan mengenai video kontroversi di mana bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perdana menteri mengaku memindahkan RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Soalan itu diajukan ketika Najib beredar selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur malam ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan yang menghadiri majlis yang sama, memberitahu pemberita selepas Najib beredar, bahawa perdana menteri telah memberi taklimat kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai isu RM2.6 bilion itu.

"Beliau (Najib) tidak pernah menggunakan wang 1MDB dan masukkan ke dalam akaunnya," tegas Ahmad Maslan.