Wednesday 14 December 2016

Anwar Kembali Ke Penjara


Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 11:17 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
  (Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan Anwar atas alasan bahawa tidak ada merit dalam permohonannya.
Zulkefli berkata keputusan mereka itu adalah sebulat suara.

Anwar kemudian memberitahu pemberita dari kandang tertuduh bahawa beliau akan berbincang dengan pasukan peguamnya untuk tindakan seterusnya.

"Ia bukan satu pengakhiran," katanya.

Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Anwar diwakili oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N. Surendran, Ramkarpal Singh, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamaruddin.

Pasukan Timbalan Pendakwa Raya diketuai oleh Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dengan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Turut hadir di mahkamah ialah isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak-anak perempuannya Nurul Nuha dan Nurul Ilham serta cucu.

Pada 12 Oktober lalu, lima barisan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas mendengar hujah daripada peguam Gopal dan Ahmad Kamal yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.