Thursday 19 September 2013

RCI Sabah: Pasukan Petugas 'Rahsia' Ditugaskan Beri IC Kepada Pendatang Sejak 1970-an - Anwar

KOTA KINABALU: Satu pasukan petugas dibayangkan telah ditugaskan untuk mengeluarkan dokumen pengenalan Malaysia kepada warga asing di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di negeri itu, Khamis.
Ketua pembangkang dan bekas timbalan perdana menteri itu berkata, walaupun beliau tidak terlibat secara langsung dengan pasukan "rahsia" itu ketika berkhidmat dengan kerajaan antara tahun 1982 dan 1998, beliau ada mendengar tentang hal itu.
"Ia adalah sebuah kumpulan yang beroperasi di luar skop yang mempunyai struktur sah," dakwa Anwar, saksi ke-210.
Katanya, beliau sedar sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan bahawa pasukan petugas rahsia telah ditubuhkan pada awal tahun 1970 ketika Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri dan Tun Datu Mustapha Harun menjadi ketua menteri Sabah.
Menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Manoj Kurup, beliau berkata pasukan petugas rahsia itu adalah sebagai tindak balas terhadap kemasukan warga Filipina ke negeri itu yang melarikan diri daripada pemberontakan di selatan Filipina.
Anwar berkata kumpulan rahsia itu bukan merujuk kepada Pasukan Petugas Khas Persekutuan ke atas pendatang haram di Sabah yang telah ditubuhkan pada tahun 1980-an.
Katanya, beliau percaya pasukan petugas rahsia tidak pernah dibubarkan.
"Ia bermula di bawah Tun Razak dan diteruskan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi ia perlu dihentikan," katanya.
Anwar berkata, beliau tidak pernah terlibat atau secara rasmi diberi taklimat tentang pasukan petugas rahsia dan tidak pula dijemput untuk duduk dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
"Saya tidak bersetuju bahawa perdana menteri tidak tahu mengenai operasi ini. Jika ia melibatkan 5,000 dokumen, maka mungkin ya. Tetapi di sini kita bercakap mengenai beratus-ratus ribu," katanya.
Ditanya oleh Pengerusi RCI Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sekiranya beliau bersetuju bahawa sistem Malaysia berhubung pemberian taraf warganegara adalah lemah, Anwar tidak bersetuju.
Kepada soalan Manoj Kurup mengenai cadangannya untuk membetulkan masalah itu, termasuk memanggil balik dan mengeluarkan semula IC atau berdepan risiko dihantar pulang, beliau berkata ia idea yang baik.
Anwar berkata kerajaan mempunyai hak untuk menarik balik IC yang telah diberikan kepada warga asing.
"Kita tidak perlu memberikan mereka kewarganegaraan, tetapi mungkin, meletakkan mereka dalam kategori berbeza (untuk membezakan mereka dengan rakyat Malaysia yang tulen) untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini," katanya.