Monday, 10 August 2015

RM2.6b untuk p'raya? Tak masuk akal'



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penjelasan bahawa dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digunakan untuk kempen pilihan raya adalah tidak masuk akal.

Lebih-lebih lagi apabila melihat gaya hidup Najib yang nampak lebih mewah daripada yang boleh ditampung dari gaji seorang perdana menteri, kata Mahathir.

Malah, beliau juga hanya memerlukan kurang dari RM10 juta untuk setiap kempen pilihan raya BN yang diketuainya.

Mahathir menulis demikian di blognya, chedet.cc bagi menjawab penjelasan Najib kepada pemimpin BN bahawa jumlah RM2.6 bilion itu digunakan untuk pilihan raya.

“Penjelasan bahawa lebih RM2 bilion digunakan untuk pilihan raya adalah tidak masuk akal. Saya hanya perlukan kurang dari RM10 juta untuk setiap satu daripada lima (kempen) pilihan raya yang saya ketuai, dan saya memenangi kesemuanya dengan majoriti lebih dua pertiga.

“Kenapa anda perlukan RM2.6 bilion? Adakah untuk merasuah ahli politik atau penjawat awam atau untuk memanipulasi pilihan raya? Itu tidak betul, apa lagi sah di sisi undang-undang,” kata Mahathir.

Mengulas lanjut mengenai gaya hidup Najib, Mahathir berkata, tiada perdana menteri yang mampu hidup seperti itu dengan gaji RM20,000 sebulan.

“Kemewahan majlis pertunangan dan perkahwinan jauh melebih majlis golongan raja-raja. Beberapa majlis diadakan di Malaysia dan juga di Kazakhstan.

“Para tetamu diberi pelbagai hadiah oleh tuan rumah. Jelas sekali puluhan juta ringgit dibelanjakan, jauh melebihi apa yang mampu ditanggung oleh PM Malaysia,” katanya.

Mahathir juga mempersoalkan mengenai pembiayaan filem “porno” The Wolf of Wall Street oleh anak tiri Najib, Riza Aziz dan juga rombongan “membeli-belah di London, Paris dan tempat lain”.

“Jelas sekali PM dan isterinya memiliki wang yang lebih banyak daripada gaji dan elaun yang dibayar kepada PM,” tambahnya.
 

Poskad besar, 3 kek hadiah hari jadi Anwar



Sempena hari ulang tahun kelahiran ke-68 Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 50 orang anggota keluarga dan penyokong berkumpul di luar perkarangan penjara Sungai Buloh hari ini.

Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta semua anak perempuannya hadir dalam sambutan khas itu.

Tidak terkecuali pemimpin-pemimpin kanan PKR, termasuk Naib Presiden Tian Chuadan Rafizi Ramli serta Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin.

Mereka menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran dalam pelbagai versi, selain membawa tiga biji kek dan sebuah poskad besar yang ditandatangani penyokong serta rakan-rakannya.

Anggota keluarga hingga ke saat ini tetap beranggapan bahawa pemenjaraan Anwar bermotifkan politik.

"Kami mengambil peluang ini menyatakan kebimbangan kami ke atas pencabulan atas hak kebebasan dan perbezaan berpendapat di Malaysia.

"Anwar telah menegakkan hak asasi manusia dan kebebasan sivil semenjak bergelar mahasiswa," kata Nurul Izzah, naib presiden PKR dan anak sulung Anwar, kepada orang ramai.

Sementara itu PKR juga akan melancarkan kempen menghantar poskad kepada Anwar. Lebih 1,000 keping poskad dikeluarkan dan akan dijual dengan RM50 sekeping.

Mahkamah pada 10 Febuari lalu menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana bersalah meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
 

Arahan pindah 2 pegawai SPRM dibatalkan


Setelah bantahan keras daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perpindahan dua pegawai kanannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Jumaat lalu, dibatalkan hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam kenyataannya sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

Ali berkata beliau telah bertemu sendiri denagn Pengarah Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM.

“Kedua-dua pegawai telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.

Susulan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing berkuat kuasata pada 10 Ogos 2015 (hari ini),” katanya.
 

Mahathir: Derma Arab RM2.6 bilion 'bullshit'



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak penjelasan bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah wang derma.

“Siapa dalam dunia ini akan dermakan  AS$700 juta kepada perdana menteri Malaysia?

“Malah Obama juga tak dapat kumpulkan jumlah ini ketika mengintai jawatan presiden.

"Dicadangkan ia daripada Arab. Arab memang pemurah, tetapi tak semurah itu,” katanya.

Mahathir berkata dakwaan itu disifatkan orang ramai sebagai "hogwash or bullshit" (mengarut atau tak masuk akal).

Katanya, perkara itu sudah menjadi bahan ketawa orang ramai.
 

Tak selamat di sini, kata bos SPRM



Kepulangan yang ditunggu, namun hanya dua ayat sempat dipetik daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull malam ini - "Terima kasih" dan "Di sini tidak selamat".

Beliau 'diserbu' pemberita sejurus selepas tiba dari Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya mengulangi ucapan itu dan tidak menjawab sebarang pertanyaan daripada wartawan yang menantinya.

Dikelilingi kira-kira 10 pengawal Shukri cuba dirapati untuk mendapatkan komennya mengenai tindakan kerajaan memindahkan serta-merta dua pengarah SPRM pada Jumaat lalu, Shukri hanya menjawab:  "Terima kasih. Terima kasih. Nanti I jumpa you. "

Beliau juga berkata keadaan "tidak selamat" di situ.

"Biar saya selesaikan dulu," katanya.

Turut kelihatan hadir di KLIA ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya II SPRM Datuk Mustafar Ali.

Tawar diri ganti dua pegawai

Shukri tiba di KLIA pada jam 9.40 malam selepas menamatkan kunjungan rasmi ke AS selama 10 hari.

Kemudian, beliau bersama Low dan Mustafar mengadakan pertemuan kira-kira 15 minit di lounge khas di lapangan terbang itu sebelum menaiki kenderaannya.

Minggu lalu SPRM menjadi tumpuan ramai apabila pegawai kanan dan penyiasatnya ditahan polis yang menyiasat kes kebocoran maklumat berhubung isu pengaliran dana ke akaun persendirian perdana menteri.

Situasi itu berlaku ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed bercuti sakit, manakala Shukri yang berada pada kedudukan kedua organisasi antirasuah itu berada di luar negara.

Seorang timbalan pendakwa raya SPRM dan seorang bekas panel penasihat badan itu adalah antara individu ditahan polis untuk membantu siasatan.

Dua pengarah bahagian SPRM pula dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Keadaan itu menimbulkan suasana tegang antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia sehingga mendorong Shukri menawarkan dirinya sebagai ganti untuk pegawai yang ditukarkan kerana kedua-dua mereka bertindak atas arahan beliau.
 

Ku Li harap kabinet selesai kemelut negara



Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu barisan baru Kabinet menyelesaikan segera semua kemelut yang berlaku dalam negara ini.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan rakyat menanggung beban kerana bimbang banyak masalah berkaitan kemajuan rakyat tidak dapat diselesaikan khususnya kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan.

"Rombakan Kabinet baru-baru ini (28 Julai lepas) adalah hak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana team baru yang dilantik itu mengikut kesesuaian di bawah pentadbirannya (Najib)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Majlis Belia Kelantan (MBK) di Bukit Chekati di Gua Musang semalam, beliau turut mengharapkan barisan baru kabinet itu mendapat sokongan rakyat khususnya dari segi pembelaan kepada kehidupan mereka.

Rombakan kabinet itu menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di samping tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri baru.

- Bernama