Monday, 16 February 2015

Ambiga tak gentar didakwa hina mahkamah



Datuk S Ambiga tidak gentar dengan amaran pihak pendakwaan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyeret peguam kanan itu atas dakwaan menghina mahkamah.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu mengulas kenyataan Tan Sri Shafee Abdullah, yang bertindak penolong pendakwa raya dalam rayuan kes liwat, yang menggesa Jabatan Peguam Negara berbuat demikian semalam.

"Saya langsung tidak berasa gentar," kata Ambiga, bekas pengerusi bersama BERSIH, dalam kenyataannya hari ini.

"Saya tiada apa-apa masalah untuk berdepan dengan dakwaan ini jika benar saya dituduh (di mahkamah). Biarkan kebenaran terbongkar."

Projek Kidex Batal - Azmin


Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 3:00 PM
KIDEX adalah lebuh raya bertingkat bermula di Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) berhampiran Damansara dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil berhampiran Kinrara. Lebuh raya ini merangkumi laluan utama sepanjang 14.9 kilometer serta susur lebuh raya sepanjang 11.2km .
  (Ubah saiz teks)
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali membatalkan projek Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) berikutan pemegang konsesi gagal mencapai tiga syarat yang ditetapkan sebelum tarikh tutup pada 14 Februari lalu.

"Memandangkan tidak ada sesiapa yang mencapai syarat-syarat  diperlukan Kidex dalam tempoh yang diberikan, kerajaan Selangor mengumumkan pembatalan projek tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Azmin berkata, tiga syarat yang perlu ada ialah bebas daripada penilaian kesesakan lalulintas, kesan sosial dan kesan penilaian alam sekitar kepada penduduk di kawasan sekitar yang boleh memberi faedah ataupun kesan negatif.

"Kidex juga menjangkakan pendedahan kadar bayaran tol bagi tempoh tertentu.

"Pihak konsesi perlu menyerahkan jangkaan kutipan tol dan serahkannya kepada pelabur.

"Mereka juga perlu mendedahkan kontrak konsesi bersama polisi Pakatan Rakyat yang berintegriti dan bertanggungjawab," jelasnya.

Azmin menambah, pendekatan tersebut turut digunakan dalam permohonan yang lain.

Tukang Masak Didakwa Bunuh Pelajar UiTM Pulau Pinang


Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 2:12 PM
Syarafi Abu, 25, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh penuntut wanita UiTM Pulau Pinang 2 Februari lalu.
  (Ubah saiz teks)
TAIPING: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang pada awal Februari lepas.

Tertuduh, Syarafi Abu, 25, didakwa membunuh Nur Syuhada Johari, 20, pada 11.55 pagi di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada 2 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang, tertuduh menggelengkan kepala sebagai tanda tidak faham dengan pertuduhan yang dibacakan itu.

"Mahkamah tidak minta pengakuan kamu, cuma tanya sama ada kamu faham atau tidak dengan pertuduhan," kata Majistret.

Namun, Syarafi masih tidak faham dengan pertuduhan yang dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan kimia dan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Eyu kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April depan dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Galeri mahkamah turut dipenuhi anggota keluarga tertuduh, wartawan dan juga orang ramai. -BERNAMA

Senjata Api, Peluru Dirampas Dari Kapal Layar Asing Di Langkawi


Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 2:38 PM
Zamri Yahya
  (Ubah saiz teks)
ALOR SETAR: Polis Kedah merampas lima pucuk senjata api dan ratusan butir peluru dari sebuah kapal layar milik warga Afrika Selatan yang ditinggalkan di jeti Pulau Langkawi Khamis lepas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Zamri Yahya berkata, turut dirampas dari kapal layar itu termasuk tiga teleskop penembak tepat dan penyenyap bunyi serta tiga kelopak peluru pelbagai saiz untuk kegunaan senjata api terbabit.
"Kapal terbabit telah ditinggalkan di jeti Rebak Marina sejak Ogos tahun lepas oleh pemiliknya. Daripada pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen, kami juga mendapati warga Afrika Selatan itu telah meninggalkan Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kedah di sini, Isnin.
Katanya, semua senjata api berkuasa tinggi itu, ratusan peluru serta pelbagai kelengkapannya disembunyikan di bilik tidur kapal layar terbabit di bahagian belakang kapal berkenaan.
Ditanya sama ada rampasan senjata itu mempunyai kaitan dengan kegiatan militan, Zamri berkata, polis masih menyiasat tentang motifnya.