Wednesday 8 January 2014

Komander Taktikal Diberitahu Insiden Serangan Di Kampung Tanduo Melalui Walkie-Talkie

Kelihatan seorang anggota VAT 69 berkawal di pintu pagar utama Penjara Kota Kinabalu pada Selasa. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Komander Taktikal dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo Datuk Abdul Rashid Harun dimaklumkan bahawa satu serangan berlaku di kampung itu pada 11 Mac tahun lepas, yang meragut dua nyawa anggota keselamatan Malaysia.
Maklumat itu disalur menerusi walkie-talkie daripada tiga ketua lima sektor di mana penembak tepat VAT69 ditempatkan.
Abdul Rashid, bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, berkata seorang daripada ketua sektor itu memaklumkan bahawa lokasi mereka diserang dan beliau mendengar bunyi tembakan menerusi walkie-talkie.
"Ketika itu kira-kira pukul 10 pagi dan saya dimaklumkan oleh seorang daripada ketua sektor, Superintenden Macha, bahawa berlaku serangan.
"Kemudian seorang lagi ketua sektor, DSP Anwar, turut memaklumkan berlaku serangan di tempat beliau dan saya mendengar bunyi tembakan.
"Sejurus kemudian (komunikasi dengan Anwar), saya dimaklumkan oleh ketua sektor ketiga, DSP Rani, bahawa seorang anggota pasukannya terkorban dan selepas itu, saya dimaklumkan seorang lagi maut oleh Superintenden Macha," katanya ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan 30 individu yang didakwa dengan pelbagai pertuduhan berkaitan keganasan di Sabah di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di penjara negeri di sini, Selasa.
Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, juga berkata beliau dimaklumkan bahawa anggota yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud manakala tiga lagi cedera.
Beliau turut dimaklumkan bahawa kumpulan penceroboh itu yang memulakan serangan dan ketika itu, Abdul Rashid berada di Pangkalan Taktikal VAT69 di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Terdahulu, Abdul Rashid memberitahu mahkamah beliau bertemu seorang daripadatertuduh iaitu Datu Amirbahar Hushin Kiram dan dua lelaki yang menyertainya dalam lawatan kedua ke Kampung Tanduo pada pagi 16 Februari.
Katanya, beliau tidak tahu siapa mereka dan tidak mempersoal tujuan kedua-dua individu pada lawatan itu kerana perhatiannya tertumpu pada tugas untuk menilai kawasan berkenaan apabila tiba di kampung tersebut.
Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Februari dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.
Perbicaraan bersambung Rabu. - BERNAMA

NFC: Mohamad Salleh Fail Permohonan Tangguh Prosiding Kes Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk menangguhkan prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen.
Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan penangguhan prosiding itu sementara menunggu rayuan anak guamnya untuk membatalkan pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang pada Rabu.
Wan Shahrizal turut memaklumkan Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Mac ini untuk pengurusan kes bagi rayuan tersebut.
Tarikh perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen yang dijadualkan pada 20 dan 21 Januari ini dikekalkan.
Pada 22 November tahun lepas, Norsharidah menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pertuduhan tersebut tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan.
Mohamad Salleh memfailkan permohonan untuk menggugurkan dua pertuduhan itu pada 7 Jan tahun lalu.
Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.
Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.BERNAMA