Monday, 18 March 2019

Dr M: Pembunuhan di Christchurch luar batas kemanusiaan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kejam pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand dua hari lepas sebagai tindakan di luar batas kemanusiaan.
Menyifatkan tragedi berkenaan sebagai peristiwa sedih yang mengguris hati umat Islam, beliau berkata dalam keadaan begini, tindakan yang lebih buruk daripada yang dilakukan oleh pengganas itu ialah umat Islam melakukan balas dendam.
“Perlu kita tanya diri kita apabila kita membalas perbuatan itu, sudah pasti kita tidak akan dapat melakukan kepada pembunuh-pembunuh tersebut kerana mereka telah ditangkap dan menghadapi tindakan undang-undang.
“Kemungkinan besar apa yang akan berlaku, kita akan membalas terhadap orang yang sama agamanya, bangsanya, asal usulnya dan lain-lain aspek yang boleh kita kait dengan pengganas,” katanya pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019 malam ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, serta barisan Exco kerajaan negeri.