Thursday 6 February 2014

Kes Ketua Tuhan Harun Disebut Semula 24 Feb

KUANTAN: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menangguhkan sebutan semula kes ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' Harun Mat Saat ke 24 Feb ini.
Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam syarie Abdullah Sidek bahawa beliau memerlukan masa untuk membuat representasi kerana hanya dilantik mewakili tertuduh pada Khamis.
Harun, 47, hadir ke mahkamah hari ini dengan berkerusi roda akibat diserang angin ahmar beberapa bulan lalu.
Pada 23 April tahun lepas, tertuduh dan beberapa orang pengikutnya mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat iaitu Tuhan Harun atau Tuhan 2013, risalah dan buku berkaitan ajaran tersebut.
Tertuduh juga didakwa mencetak, menerbit dan menyimpan dokumen 'Harun Tuhan 2013' dipercayai dengan niat untuk diedarkan kepada orang ramai bertujuan mengeliru atau memesong pemahaman Islam sebenar.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM500.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang Mohd Fahmi Abd Jalil. BERNAMA

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.1 Bilion - Akauntan

KUALA LUMPUR: Seorang akauntan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa aset anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.
Akauntan bertauliah, Andrew Heng, 39, berkata sebelum ini beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa aset Datuk Seri Mahmud Abu Bekir bernilai RM916 juta hingga RM1.344 bilion.
Beliau berkata angka baru itu diperolehi setelah memasukkan dua aset yang dimiliki Mahmud yang terdiri daripada sebuah kereta Audi dan kepentingannya di Menara Titanium di Brighton Square, Kuching, Sarawak.
Andrew telah dilantik oleh bekas isteri Mahmud, Shahnaz A. Majid, 50, untuk mengenalpasti aset milik Mahmud dan nilai pegangan sahamnya dalam 49 syarikat di Malaysia.
"Berikutan penemuan baru itu, angka terkini di antara RM976 juta dan RM1.395 bilion selepas mengambil kira kedua-dua aset.
"Angka tersebut berdasarkan kepada lima komponen termasuk yang diwarisi daripada arwah ibu Mahmud, tanah kelapa sawit, saham dalam 49 syarikat Malaysia dan kini, kenderaan Audi yang dimiliki oleh Ivy Kraf Sdn Bhd di mana beliau mempunyai 50 peratus kepentingan dan juga Menara Titanium," kata Andrew.
Andrew telah memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader dalam perbicaraan tuntutan mutaah RM100 juta beliau.
Shahnaz yang merupakan kakak kepada ratu jazz, Datuk Sheila Majid, menuntut RM400 juta yang mana RM300 juta adalah harta sepencarian sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian.
Shahnaz juga menuntut 50 peratus daripada semua aset yang dimiliki oleh Mahmud, 50, termasuk kereta mewah, rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.
Mereka telah berkahwin pada Januari 1992 dan bercerai pada 2011.
Mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 20 tahun, Raden Murya.
Andrew berkata kenderaan mewah Mahmud, jenis Bugatti, bernilai RM1.18 juta tidak termasuk duti dan eksais yang dibayar dan Lamborghini bernilai RM498,000.
"Dua kenderaan lain Mahmud adalah Bentley Continental dianggarkan bernilai RM478,000 dan Toyota Alphard, RM190,000," katanya.
Pada akhir prosiding, peguam utama Mahmud Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk akauntan anak guamnya mengkaji laporan oleh Andrew.
"Kita perlu mendapatkan nasihat daripada pakar dalam bidang perakaunan sebelum boleh meneruskan pemeriksaan balas kami," katanya.
Walau bagaimanapun, peguam utama Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie membantah permohonan itu, dengan menyatakan ia tidak adil untuk mereka dan menambah bahawa aset Mahmud adalah berdasarkan laporan kewangan syarikat-syarikat beliau.
Mahkamah kemudian menanguhkan perbicaraan kepada 14 dan 30 April bagi pembelaan untuk pemeriksaan balas Shahnaz.

Kes Saman Raja Nong Chik Terhadap Nurul Izzah Gagal Selesai Secara Mediasi

KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataan fitnah mengenai pembelian tanah di Bukit Kiara, gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi, Rabu.
Ini kerana pihak yang terbabit dalam proses mediasi itu - Raja Nong Chik, Nurul Izzah dan Malaysiakini - tidak bersetuju dengan terma penyelesaian, kata peguam K.Shanmuga yang mewakili Nurul Izzah.
Sehubungan itu, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Yeoh Wee Siam, katanya kepada media di sini.
Bagaimanapun tarikh belum ditetapkan untuk perbicaraan itu.
Proses mediasi itu dijalankan di hadapan Hakim Zainal L.Salleh di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Raja Nong Chik ketika ditemui media berkata beliau akan membuktikan tuntutannya terhadap Nurul Izzah apabila kes itu dibicarakan.
Ini kerana kenyataan itu telah menjejaskan reputasinya dan keluarganya, kata beliau.
Nurul Izzah pula berkata beliau bersedia untuk mempertahan kenyataan yang dikeluarkannya berdasarkan isu kepentingan awam.
Pada 17 Julai tahun lepas, Raja Nong Chik memfailkan saman itu terhadap Nurul Izzah, Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini dan wartawan Malaysiakini Lu Wei Hoong.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah itu dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr Ismail di sini, iaitu sehari sebelum hari pengundian pilihan raya umum ke-13.
Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu telah diterbitkan dalam laman web Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei tahun lepas.
Beliau memohon perintah injunksi supaya semua defendan sama ada melalui diri mereka atau ejen-ejen mereka dihalang daripada mengeluarkan atau menerbitkan perkataan sama yang menfitnah dirinya.
Beliau juga memohon ganti rugi am, teruk, teladan, satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Menurutnya akibat penerbitan kenyataan itu, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk.
Pada PRU13 5 Mei tahun lepas, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi. - BERNAMA