Ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho menolak dakwaan bahawa dia sebagai dalang di sebalik penipuan berbilion-bilion dolar dana 1MDB. Sebaliknya, Low berkata, dirinya menjadi sasaran perhatian media yang luar biasa kerana dia bukan "ahli politik".
Dalam temu bual dengan Straits Times (ST) Singapura, Low berkata, perhatian kurang diberikan kepada tokoh-tokoh lain seperti tokoh perbankan antarabangsa dan peguam yang ditugaskan menasihati firma pelaburan negara itu dan bekas anak syarikatnya SRC International.
Mempertahankan bahawa dia tidak pernah memegang sebarang jawatan yang membolehkannya membuat keputusan di kedua-dua syarikat itu, Low menegaskan bahawa pihak pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB dan SRC International seharusnya melakukan ‘usaha wajar’ atau ‘due diligence’ terhadap semua cadangan dan mempunyai hak untuk menolaknya.