Friday, 30 August 2013

NFC: Permohonan Mohammad Salleh Tukar Penjamin, Dapatkan Pasport Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, untuk menukar penjamin dan pasportnya dikembalikan secara kekal.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohamad Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Mahkamah turut menolak permohonan Mohamad Salleh untuk mengembalikan wang jaminan RM500,000 sebelum ini bagi menggantikan wang jaminan itu dengan cagaran tanah bernilai RM2.5 juta.
Dalam permohonan yang difailkan pada 28 Ogos lalu, Mohamed Salleh, 65, memohon supaya penjaminnya iaitu anak lelakinya, Wan Shahinur Izmir, ditukar kepada isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Wan Shahrizal dalam hujahannya berkata cagaran tanah bernilai RM2.5 juta yang dicadangkan melebihi jumlah jaminan asal yang disebut mahkamah iaitu RM500,000. Beliau berkata tiada alasan untuk Mohamad Salleh melarikan diri dari Malaysia kerana anak-anaknya dibesarkan di Malaysia selain isterinya yang merupakan Ketua Wanita Umno.
Sementara itu, Awang Armadajaya berhujah nilai sesuatu pasport melebihi nilai wang ringgit kerana ia adalah lesen untuk berjalan ke luar negara.
"Untuk mengatakan nilai RM2.5 juta yang ditawarkan melebihi RM500,000 adalah tidak tepat kerana jaminan asal adalah RM500,000 berserta pasport yang tidak ternilai," katanya. "Setelah melihat semua afidavit yang menyokong permohonan, tidak didapati sebarang sebab yang istimewa untuk pinda syarat-syarat jaminan," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 September ini untuk mendengar permohonan Mohamad Salleh bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.
Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamad Salleh, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah RM9,758,140 untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di sini dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd pada 2009.
-BERNAMA

Pegawai Polis Didenda RM2,000 Kerana Hina Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah agar tidak mendekati saksi pembelaan dalam kes dadah melibatkan seorang warga Australia.
Hakim Kamardin Hashim juga memerintahkan Insp Luther Nurjib @ Andrew dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.
Kamardin dalam keputusannya berkata, pemohon Dominic Jude Bird, 34, mendedahkan Luther melakukan kesalahan menghina mahkamah apabila dia mendekati saksi pembelaan, Mohd Fahrizal Rosli di lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10 Disember 2012, tiga hari selepas mahkamah mengeluarkan perintah sekatan.
Hakim berkata, mahkamah juga telah menimbangkan rayuan yang dikemukakan peguam Luther, C.B. Liang, tanpa membelakangkan sistem keadilan jenayah.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kamardin menegur Luther kerana gagal mengemukakan permohonan maaf kepada mahkamah.
"Tiada usaha di pihak anda untuk membersihkan prosiding menghina mahkamah. Anda sepatutnya berusaha untuk memaklumkan kepada mahkamah dan menawarkan permohonan maaf," kata Kamardin.
Luther yang sebelum ini bertugas dengan Jabatan Narkotik di Balai Polis Dang Wangi bertindak selaku 'ejen provokasi' ketika menahan Bird semasa serbuan itu.
Luther membayar denda itu.
Pada 25 Mac lepas, Kamardin memerintahkan Bird membela diri terhadap pertuduhan mengedar 167.8 gram dadah jenis methamphetamine, di cawangan Old TownCoffee di Jalan Yap Kwan Seng pada 4.15 petang pada 1 Mac tahun lepas.
Sementara itu, peguam yang mewakili Bird, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita penghujahan di akhir kes pembelaan perbicaraan itu ditetapkan esok di hadapan Kamardin.
Perbicaraan kes Bird juga mendapat liputan media Australia. - BERNAMA