Friday, 3 April 2015

Zunar hadapi sembilan tuduhan hasutan



Kartunis politik Zunar tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini terhadap sembilan tuduhan hasutan berkaitan sembilan tweet mengenai keputusan perbicaraan kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemua sembilan pertuduhan itu akan dibicarakan serentak, manakala ikat jamin ditetapkan RM2,500 bagi setiap pertuduhan - menjadikan jumlahnya RM22,500.

Jika disabit kesalahan, Zunar berdepan dengan hukuman sehingga 43 tahun penjara.
 

Kit Siang: Hantar Dr M dan Pak Lah jumpa Sirul



Ahli Parlimen veteran pembangkang, Lim Kit Siang menyarankan satu misi pencarian fakta untuk menyiasat Sirul Azhar Umar berhubung motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Dan dua calon terbaik untuk tugas itu, menurut Lim, ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"(Misi pencarian fakta ini perlu) melaporkan kepada Parlimen mengenai hasil penemuan mereka, termasuk apa yang patut dilakukan terhadap Sirul dan Azilah (Hadri), kedua-duanya berdepan dengan hukuman mati, walaupun Sirul telah melarikan diri ke Australia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi ini, Mahathir menulis di blognya bahawa ramalan oleh masyarakat sekarang ialah Umno dan BN akan kalah dalam pilihanraya umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurutnya, tidak dijawab oleh Najib.

Salah satu isu utama, kata Mahathir, ialah misteri motifpembunuhan Altantuya.

Pada masa itu, Abdullah menjadi perdana menteri manakala Najib menjadi timbalannya.

PERKASA: Apa Dr M kata isu Altantuya betul



PERKASA hari ini menyuarakan pendapat senada dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu siasatan dibuat untuk mencari pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Kumpulan pendesak Melayu itu juga bersetuju dengan kritikan keras bekas perdana menteri terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Mahathir bukan tuduh, tapi (minta) siasat, common sense, everybody will support (logik akal, semua orang akan setuju).

“Apa yang Mahathir kata itu betullah itu,” kata Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim turut membandingkan serangan ke atas Najib dengan serangan Mahathir ke atas penggantinya sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Najib lebih banyak isu berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah orang kritik tapi Najib lagi banyak (terima kritikan).

Mahathir dalam tulisan di blognya hari ini membangkitkan persoalan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhanAltantuya Shaariibuu.