Wednesday 14 March 2018

TV3 diarah bayar RM200,000 pada bekas presiden Majlis Peguam

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) membayar RM200,000 kepada bekas presiden Majlis Peguam Manjeet Singh Dhillon kerana fitnah.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga menolak rayang bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, Utusan Melayu (M) Berhad dan bekas wartawan Utusan Malaysia Raja Syahrir Abu Bakar untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi agar mereka membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kepada Manjeet.
Pada 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Arifin mengarahkan Utusan membayar RM200,000 dan Gobalakrishnan RM150,000 selepas didapati bersalah memfitnah Manjeet. Namun Nor Bee menolak saman yang difailkan terhadap TV3.
"Plaintif (Manjeet) telah membuktikan kesnya terhadap TV3, dan hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu telah terkhilaf," kata Abang Iskandar.
Panel yang dianggotai Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan itu turut mengarahkan TV3 membayar RM70,000 sebagai ganti rugi kos, manakala Utusan dan Gobalakrishnan diarahkan membayar RM20,000.