Monday 6 January 2014

Lelaki OKU Dihukum Penjara 35 Tahun, Enam Sebatan Kerana Rogol, Rompak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) pada Isnin dijatuhi hukuman penjara berjumlah 35 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol, melakukan seks oral dan merompak seorang pegawai bank, September lepas.
Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhi hukuman itu terhadap MohamadAzhan Mohamad Johan, 28, yang bisu dan pekak, selepas membuat pengakuan bersalahterhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.
Mohamad Azhan membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa isyarat oleh jurubahasa isyarat dari Mahkamah Persekutuan, Tan Lee Bee.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan merogol, penjara 13 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan melakukan seks oral dan penjara tujuh tahun kerana merompak.
Bagaimanapun tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 September lepas.
Mohamad Azhan yang bekerja sebagai tukang cuci dan berasal dari Setapak di sini, didakwa merogol wanita berusia 38 tahun itu di dalam sebuah tandas, Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini antara 7 pagi hingga 7.15 pagi, 12 September lepas.
Dia juga didakwa melakukan seks oral dan merompak RM100 daripada mangsa pada tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan merogol dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C bagi pertuduhan seks oral, yang kedua-duanya, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 tahun, denda dan sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman yang lebih berat dengan mengambil kira elemen kekerasan digunakan tertuduh terhadapmangsa serta faktor kepentingan awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana dia perlu menanggung isteri dan dua anak yang berumur tujuh dan sembilan tahun serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Sementara itu, mangsa yang turut hadir dalam prosiding pada Isnin untuk memberi keterangan impak mangsa memberitahu mahkamah bahawa dia berasa sangat tertekan dan hampir mahu membunuh diri kerana insiden itu.
"Saya tidak boleh berjalan di luar seperti biasa. Saya perlu menjalani rawatan perubatan dan psikologi kerana kejadian ini.
"Saya tidak boleh tidur kerana apabila saya bersendirian saya akan teringat apa yang dia lakukan terhadap saya. Saya juga terpaksa mengambil pil tidur," katanya yang mengambil cuti sakit selama tiga bulan. - BERNAMA

Mahkamah Benarkan Permohonan Pasangan Blogger Kontroversi Untuk Tangguh Prosiding

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan pasangan blogger kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee untuk menangguhkan prosiding mahkamah.
Panel hakim tiga anggota yang diketuai Datuk Linton Albert membenarkan permohonan itu sementara menunggu rayuan pasangan itu diputuskan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda Islam dan bulan Ramadan.
Panel itu, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili pasangan itu Chong Joo Tian danTimbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Hakim Linton yang bersidang bersama-sama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Seri Zakaria Sam, juga membenarkan permohonan Chong supaya tarikh antara 8 hingga 10 Januari di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikosongkan untuk perbicaraan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Chong berkata, tiada tarikh ditetapkanoleh Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November lepas itu.
Pasangan itu menghadapi pertuduhan memuat naik gambar mereka sedang makan "bak kut teh" (sup babi) dan kapsyen "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.
Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingersiaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.
Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002. - BERNAMA