Monday, 27 January 2014

Anwar Nafi Spekulasi Beliau Akan Jadi MB Selangor

Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera menafikan spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Spekulasi...Terdapat cadangan ini sejak 2008 lagi," jawabnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini pada Isnin.
Menurut Anwar, beliau telah menemui Abdul Khalid seperti biasa dan kali terakhir pada Jumaat dan bukan hari Ahad sepertimana yang dilaporkan media.
"Saya bertemu beliau (Abdul Khalid) setiap minggu. Seperti biasa kami bertemu di pejabat atau di rumah," kata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika ditanya berkaitan spekulasi yang dia telah mencapai persetujuan dengan Khalid Ibrahim untuk mengambilalih kerusi menteri besar.
Ditanya adakah perbincangan mereka menyentuh mengenai kedudukan menteri besar Selangor, Anwar berkata, ia hanya melibatkan perkara penting berkenaan parti dan negeri tersebut sahaja.
Selain itu, beliau turut bertanya sekiranya terdapat cadangan mengenai kerusi yang 'selamat' untuk ditandingi bagi melayakkannya menjadi menteri besar.
"Kerusi selamat? Boleh anda cadangkan satu kerusi yang selamat di Selangor?" soalnya sambil sekali lagi menolak spekulasi berkenaan.
Sebelum itu, portal berita The Star Online melaporkan yang Abdul Khalid telah bersetuju untuk meletak jawatan sebagai menteri besar dalam masa terdekat ini.
Laporan yang memetik sumber-sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyebut yang Abdul Khalid dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan pada Rabu ini.
Mereka berkata, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Satu pilihan raya kecil dijangka terpaksa diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor sebelum mengambil alih kedudukan tersebut.
Abdul Khalid yang kini berhadapan dengan tekanan kuat oleh partinya sendiri berhubung kemelut dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan isu serbuan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Pertubuhan Bible Malaysia dikatakan bersetuju dengan perubahan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan Anwar pada Ahad.

Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Lelaki Rogol Budak Perempuan

Riduan Masmud dikeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin.
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pengurus operasi restoran yang gagal hadir untuk prosiding jatuh hukum selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Waran tangkap terhadap Riduan Masmud, 40, dikeluarkan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad yang turut menetapkan 3 Feb ini untuk semakan waran tangkap itu.
Satu sijil perubatan daripada Hosiptal Queen Elizabeth di sini dikemukakan menyatakan pengurus restoran itu tidak sihat untuk hadir di mahkamah.
Bagaimanapun, Ummu Khaltom tidak berpuas hati dengan butiran di dalam sijil itu yang tidak menyatakan penyakit dihidapinya dan bila dia boleh hadir di mahkamah.
Peguam YS Lo menyerahkan perkara itu diputuskan oleh mahkamah selepas beliau gagal menghubungi anak guamnya dan anggota keluarganya untuk menentukan penyakit dihidapinya semasa prosiding ditangguh selama sejam.Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata agak menghairankan apabila Riduan tiba-tiba jatuh sakit dan tidak hadir untuk jatuh hukum sedangkan dia hadir pada hari kes itu diputuskan Jumaat lepas.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol budak sekolah berumur 12 tahun itu antara 9 pagi dan 10 pagi pada 18 Feb tahun lepas di tepi jalan dekat Air Terjun Kionsom di Inanam dekat sini.
Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah yang dia telah menikahi budak perempuan itu.
Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan antara 1 Julai dan 14 Nov tahun lepas, manakala Riduan, yang tidak diwakili peguam semasa diperintah membela diri, mengemukakan tiga saksi termasuk dirinya.
Peguam Mary Lee bertindak sebagai peguam pemerhati Sabah Women's Action Resource Group (SAWO), Women's Centre for Change, Penang (WCC Penang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, manakala peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. BERNAMA

Pengurusan Kes Bunuh Pegawai AmBank Pada 10 Feb

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 Feb depan sebagai tarikh pengurusan kes terakhir bagi kes bunuh pegawai operasi dan rompakan bersenjata di cawangan Ambank Subang Jaya.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya pada Jumaat.
Peguam S.Selvi, yang dilantik Kedutaan Indonesia mewakili La Ode Ardi Rasila, berkata tarikh itu diputuskan bagi membolehkan pihak pembelaan memperoleh dokumen berkaitan laporan kimia, salinan kamera litar tertutup serta memutuskan mahkamah tinggi yang akan mendengar kes berkenaan.
Beliau berkata peguam S.Prakash akan menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
La Ode Ardi, 36, dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 19 Nov lepas atas dua pertuduhan iaitu membunuh Norazita Abu Talib, 37, dan melakukan rompakan serta melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian mangsa di dalam bangunan Ambank di Subang Jaya antara 6 dan 6.30 petang, 23 Okt lepas.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Majistret K.B Elina Hong Tze Lan memerintahkan kedua-dua kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi di sini selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan. BERNAMA

Pengurus Restoran Bersalah Rogol Gadis Bawah Umur

Riduan Masmud.
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat mendapati pengurus restoran, Riduan Masmud, bersalah kerana merogol seorang gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Bagaimanapun Hakim Ummu Khaltom Abd Samad menetapkan Isnin depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Riduan.
Ummu Khaltom berkata hukuman ditangguhkan sementara meneliti hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.
Riduan, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Februari tahun lepas.
Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Pihak pendakwaan  diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan diwakili peguambela Y.S. Lo dan Timothy Daut.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. - BERNAMA