snin Januari 27, 2014
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pengurus operasi restoran yang gagal hadir untuk prosiding jatuh hukum selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Waran tangkap terhadap Riduan Masmud, 40, dikeluarkan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad yang turut menetapkan 3 Feb ini untuk semakan waran tangkap itu.
Satu sijil perubatan daripada Hosiptal Queen Elizabeth di sini dikemukakan menyatakan pengurus restoran itu tidak sihat untuk hadir di mahkamah.
Bagaimanapun, Ummu Khaltom tidak berpuas hati dengan butiran di dalam sijil itu yang tidak menyatakan penyakit dihidapinya dan bila dia boleh hadir di mahkamah.
Peguam YS Lo menyerahkan perkara itu diputuskan oleh mahkamah selepas beliau gagal menghubungi anak guamnya dan anggota keluarganya untuk menentukan penyakit dihidapinya semasa prosiding ditangguh selama sejam.Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata agak menghairankan apabila Riduan tiba-tiba jatuh sakit dan tidak hadir untuk jatuh hukum sedangkan dia hadir pada hari kes itu diputuskan Jumaat lepas.
Riduan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol budak sekolah berumur 12 tahun itu antara 9 pagi dan 10 pagi pada 18 Feb tahun lepas di tepi jalan dekat Air Terjun Kionsom di Inanam dekat sini.
Dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah yang dia telah menikahi budak perempuan itu.
Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan antara 1 Julai dan 14 Nov tahun lepas, manakala Riduan, yang tidak diwakili peguam semasa diperintah membela diri, mengemukakan tiga saksi termasuk dirinya.
Peguam Mary Lee bertindak sebagai peguam pemerhati Sabah Women's Action Resource Group (SAWO), Women's Centre for Change, Penang (WCC Penang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, manakala peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. BERNAMA
No comments:
Post a Comment