Saturday 13 September 2014

Pecah Amanah: Bekas Eksekutif Akaun Bebas Tuduhan


Diterbitkan: Jumaat, 12 September 2014 6:13 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Bekas eksekutif akaun sebuah syarikat mengalirkan air mata kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM620,000 kerana melakukan tujuh kesalahan pecah amanah membabitkan lebih RM600,000.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Heow Siew Chun, 41, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah pada 12 November 2013.

Sehubungan itu, Tee melepas dan membebaskan Heow daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Tee berkata, selepas meneliti rekod rayuan, mahkamah berpuas hati hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf ketika mensabitkan perayu (Heow).

Pihak pendakwa gagal untuk mengemukakan bukti yang boleh dipercayai dan boleh diterima untuk membuktikan pertuduhan itu," katanya dan menambah hakim juga telah terkhilaf apabila memerintahkan perayu membela diri terhadap kesnya itu.

Heow dijatuhi hukuman penjara berjumlah 42 tahun dan didenda RM620,000 atau penjara 62 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah.

UPSR: Polis Ambil Keterangan Tujuh Individu


Diterbitkan: Sabtu, 13 September 2014 2:18 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis sedang mengumpul keterangan dari pelbagai pihak bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.

"Setakat ini tujuh rakaman percakapan diambil dari kesemua tujuh individu berkenaan untuk membantu siasatan. Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada Bernama.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis juga.

Wanita Hampir Maut Bom Tangan Meletup Bawah Kereta


Diterbitkan: Sabtu, 13 September 2014 4:25 PM
Junaidi Bujang
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Seorang wanita hampir maut apabila sebutir bom tangan meletup ketika kereta yang dipandunya melalui jalan berhampiran rumahnya di Kampung Baru Subang di sini, Sabtu.

Chong May Lun, 40, yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada 6.45 pagi, tidak menyangka bunyi kuat itu adalah letupan sebutir bom tangan.

"Saya bernasib baik kerana bom itu tidak meletup di tangki minyak dan di bahagian pemandu," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Sabtu.

Letupan itu menyebabkan bahagian bampar belakang kereta Toyota Vios beliau tertanggal dan serpihan bom itu menembusi but dan tempat duduk penumpang bahagian belakang.