Thursday, 7 March 2019

Peguam tetap kata polis terlibat kehilangan Amri, Koh

      Raymond Koh                                                            Amri Che Mat
 SUHAKAM | Di hari terahkhir inkuiri Suhakam berkenaan kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh hari ini, peguam yang mewakili keluarga mereka bertegas bahawa polis terlibat dalam kedua-dua kes itu.
Mewakili keluarga Koh, Jerald Gomez membangkitkan beberapa kejanggalan dalam kenyataan polis berkenaan penculikan Koh pada 13 Feb 2017.
Ia termasuk satu peristiwa tembakan di Kedah pada Jun 2017, yang menurut ketua polis negara pada waktu itu Khalid Abu Bakar berkaitan dengan penculikan paderi itu.
Kenyataan awal oleh polis Kedah berhubung perkara itu menyatakan suspek yang disyaki penyeludup dadah dan senjata telah dibunuh dan tidak menyebut tentang Koh.
Gomez berkata "pertentangan" itu menimbulkan keraguan berkenaan kaitan dua perkara itu, dan mempersoalkan sama ad ia digunakan untuk mengalih perhatian terhadap polis.
Peguam itu juga menyatakan satu lagi perkara yang didakwa sebagai "pengalihan perhatian" itu - pendakwaan Lam Chang Nam atas penculikan Koh sebaik inkuiri mula berjalan, menyebabkan ia digantung buat sementara.
Lam sebelum ini disyaki mengugut wang daripada keluarga Koh.

"Lam adalah satu lagi red herring (untuk alihkan perhatian), kerana Khalid...telah membebaskannya daripada sebarang kaitan daripada penculikan.
"Semua ini memberi kesimpulan bahawa mereka (polis) tidak mahu semua bukti dibangkitkan dalam inkuiri ini.
"Kami berpandangan satu-satunya sebab mereka tidak mahu kebenaran diketahui adalah kerana mereka sendiri terlibat," kata Gomez.
Menjawab Gomez, Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri menegaskan bukti mengaitkan insiden tembakan di Kedah dengan penculikan Koh memang telah ditemui.
Azman bagaimanapun tidak mengulas tentang pendakwaan Lam.
'Amri dipantau sebelum diculik'
Dalam kes Amri, peguam keluarga David Morais mendakwa penglibatan polis dapat dilihat selepas mengambil kira rentetan peristiwa.
"Amri diculik pada 24 Nov 2016.
"Pantauan di luar rumahnya berjalan selama tiga hari sebelum dia hilang - pada 21, 22 dan 23 Nov," katanya.
Amri Che Mat
Morais membangkitkan bagaimana bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman, Ekstremis Sosial Bukit Aman Awaludin Jadid sebelum ini ketika inkuiri memberitahu bahawa polis memantau Amri sebelum kehilangannya, kerana merasakan NGO Amri - Perlis Hope - terlibat dalam kegiatan penyebaran Syiah.
Awaludin bertemu dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin sebulan sebelum kehilangan Amri.
Morais berkata lagi, pada 6 Nov polis telah memberi amaran tentang ancaman oleh pengikut mazhab Syiah.
Beliau juga bersetuju dengan keterangan isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, yang mengatakan dia diberitahu oleh seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Mohd Shamzaini Mohd Daud bahawa polis terlibat dalam kehilangan suaminya dan juga Koh.
Sebagai respons, Ketua Jabatan Perundangan Bukit Aman Mokhtar Mohd Nor menegaskan Shamzaini telah menafikan ada berkata demikian dan membuat laporan polis terhadap Norhayati.
Shamzaini juga membuat penafian sama ketika dipanggil inkuiri untuk memberi keterangan.
Mokhtar juga berkata beberapa soalan Morais melangkaui apa yang disediakan pasukan perundangan dan bersetuju untuk menghantar jawapan bertulis sebelum 11 Mac ini.