Monday 16 December 2013

Ketua & Pengikut Tuhan Harun Didakwa Bunuh Pegawai JAIP

KUANTAN: Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi Isnin atas tuduhan dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas membunuh Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu.
Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan Shaizral A Eddie Nizam Shaari, 37, didakwa mengikut Seksyen 120B(1) yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dituduh melakukan konspirasi jenayah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tiba dengan kawalan ketat polis.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian membenarkan pemohonan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Ejen Pekerja Asing Dipenjara 15 Tahun Rogol Anak Perempuan Berusia 12 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang ejen pekerja asing dipenjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Ampang di sini selepas didapati bersalah kerana merogol anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
Hakim Chan Jit Li turut mengarahkan lelaki berusia 53 tahun itu disebat 10 kali.
Chan membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.
Beliau mengarahkan hukuman berjalan bermula Khamis .
Lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun di sebuah rumah di Ampang Jaya di antara tahun 2006 dan Mac 2012.
Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan maksimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir menggesa mahkamah mengenakan hukuman yang lebih keras dengan mengambil kira kepentingan awam.
Ummi Aliza berkata tertuduh adalah bapa kepada mangsa dan ia adalah tanggungjawabnya untuk melindungi kanak-kanak itu.
"Tindakannya telah menyebabkan kerosakan jangka panjang untuk sepanjang hidupnya gadis itu dirogol sejak berusia 12 tahun," katanya.

Banduan Dijatuhi Hukuman Mati Bunuh Teman Satu Sel

Banduan Dijatuhi Hukuman Mati Bunuh Teman Satu Sel
SHAH ALAM: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan menyamun dan dijangka dibebaskan pertengahan tahun depan terpaksa melupakan impian itu selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh teman satu sel, tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Nor Hamdan Mohamad, 41, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Nor Hamdan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Lui Hoh Hiong, 52, di sel No.9, Blok Gemilang, Penjara Kajang pada 4.30 pagi, 16 April 2012.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abd Aziz dan pada prosiding hari ini beliau diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad sementara tertuduh diwakili peguam Salim Bashir. - BERNAMA