Tuesday 12 November 2013

Pemilik Taska Terlibat Dengan Video Penderaan Bayi Didakwa di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Taman Melati, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Rozita Awang, 35, didakwa mendera dan menyebabkan kecederaan fizikal serta menyebabkan trauma secara emosi terhadap mangsa.
Suspek bagaimanapunmengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik tuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin, pada Selasa.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan kes.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di ruang tamu Taska Permata Harapan, Taman Melati pada pukul 11.35 pagi pada 10 Oktober lalu.
Roziat yang juga ibu kepada enam anak, dilihat beberapa kali menoleh ke arah anak-anaknya yang hadir dalam bilik perbicaraan.
Hakim membenarkan Rozita diikat jamin dengan mengambilkira kepentingan anak-anak tertuduh.
Sebelum ini, Rozita merupakan tiga individu yang disiasat kerana didakwa terlibat dalam rakaman video penderaan seorang kanak-kana yang direkodkan oleh kamera kecil tersembunyi yang dipasang oleh ayah mangsa pada beg sekolah anaknya.
Video berkenaan kemudiannya tersebar di Internet.
Rakaman video tersebut memaparkan aksi seorang pekerja taska menampar dn memukul seorang kanak-kanak.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan kemudiannya membuat laporan polis dan membuat pendedahan mengenai rakaman video berkenaan di sebuah stesen televisyen tempatan

Bekas Adun Teratai Saman Timbalan Pengerusi DAP

Jenice Lee
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee telah memfailkan saman terhadap Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai atas tuduhan memfitnah beliau.
Lee memfailkan saman berkenaan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil melalui peguamnya, Michael Wong pada pukul 9.06 pagi Selasa.
Dalam saman berkenaan, Lee menamakan Tan sebagai defendan tunggal dengan mendakwa beliau telah mengadakan siadang media di Pasar Pagi Taman Muda pada 23 April, menuduh dirinya secara terbuka terlibat dengan salah guna kuasa dan dana ketika dia menjadi Adun Teratai.

Gereja Katolik Fail Permohonan Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan gereja itu The Herald menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God".
Benjamin Dawson, seorang daripada peguam yang mewakili gereja itu berkata mereka memfailkan permohonan itu semalam di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan. "Gereja mengemukakan 26 persoalan undang-undang dalam permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dawson berkata soalan undang-undang itu melibatkan tiga perkara iaitu persoalan perlembagaan, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah boleh membuat keputusan ke atas isu perbandingan agama.
Katanya persoalan penting termasuk sama ada Islam, sebagai agama persekutuan, boleh mencabuli hak asasi dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan khususnya hak untuk menganut dan mengamalkan agama mereka dalam kumpulan agama minoriti.
Dawson berkata satu lagi persoalan perlembagaan yang penting ialah sama ada negeri boleh campur tangan dalam soal hak kumpulan agama dalam mengendalikan hal ehwalnya sendiri.
Persoalan lain, katanya ialah sama ada kekeliruan seperti didakwa oleh kumpulan agama tertentu merupakan alasan untuk membataskan hak kebebasan kumpulan agama yang lain.
Beliau berkata persoalan mengenai undang-undang pentadbiran bertumpu ke atas kuasa Menteri Dalam Negeri iaitu sama ada keputusan Menteri Dalam Negeri atas alasan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam dapat disemak semula oleh mahkamah.
Persoalan lain, katanya adalah sama ada Mahkamah Rayuan boleh melakukan penyelidikan di Internet dan membuat rumusan tertentu terhadap isu perbandingan agama.
Beliau berkata Gereja Katolik akan menyerahkan permohonan kebenaran itu ke Jabatan Peguam Negara untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, kerajaan dan jabatan-jabatan agama negeri.
Dawson berkata dijangka tarikh pengurusan kes akan ditetapkan dan selepas itu tarikh untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu pula akan ditetapkan.
Pada 14 Oktober, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang Herald menggunakan kalimah "Allah".
Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah".
Pada 16 Februari, 2010, Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara lain, diisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan Herald adalah salah di sisi undang-undang.
Penerbitan mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God" dalam Herald edisi bahasa Melayu, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal. -BERNAMA