Wednesday 30 July 2014

Tiga Rakan Didakwa Miliki Kontena Berisi Cakera Keras


Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 8:50 PM
  (Ubah saiz teks)
KLANG: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini  Jumaat  atas pertuduhan memiliki sebuah kontena mengandungi cakera keras bernilai AS$1.5 juta (RM4.77 juta) pada minggu lepas.

Mohd Khairul Nizam Halimin, 28, Zaireen Irwan Yahaya, 39, dan Mohd Ferdaus Yusoff, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa memiliki sebuah kontena mengandungi cakera keras milik Western Digital di Jalan Sellathevan Off Jalan Kampung Jawa, Seksyen 36 di sini, pada pukul 10 malam, 18 Julai lepas.

Mohd Khairul Nizam, pemandu lori, Zaireen Irwan, jurulatih memandu dan Mohd Ferdaus, sub kontraktor, didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Nor yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan barangan curi yang mereka miliki mempunyai nilai tinggi.

MIC, PPP Buat Laporan Polis Terhadap Kenyataan Shahul Hameed


Diterbitkan: Rabu, 30 Julai 2014 4:40 PM
Shahul Hameed
  (Ubah saiz teks)
GEORGE TOWN: Tiga puluh wakil MIC, PPP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Hindu pada Rabu membuat laporan polis terhadap seorang penceramah bebas kerana didakwa mengeluarkan kenyataan provokasi berunsur rasis semasa berceramah.
Tiga puluh orang yang mewakili sayap Wanita, Pemuda dan Putera MIC, PPP dan NGO Hindu membuat laporan ke atas Shahul Hameed Seeni Mohd di Balai Polis Jalan Patani di sini.
Ketua Putera MIC negeri, N.G Senthelnathan berkata mereka mahu polis menjalankan siasatan dan mahu Shahul Hameed berhenti daripada mengadakan sebarang ceramah sehingga siasatan selesai.
"Tidak salah kalau mahu berceramah berkenaan agama Islam tetapi beliau jangan menyentuh agama lain," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC negeri, A. Murugan menegaskan pihaknya menolak permohonan maaf Shahul Hameed berhubung insiden itu kerana mahu tindakan tegas diambil ke atasnya.

Pekerja Syarikat Balak Nyaris Maut Gajah Naik Minyak


Diterbitkan: Selasa, 29 Julai 2014 7:51 PM
  (Ubah saiz teks)
JERANTUT: Dua pekerja syarikat pembalakan di Hutan Kampung Bukit Harimau nyaris maut apabila bangsal kongsi mereka dimusnah oleh sekumpulan gajah liar yang naik minyak, Isnin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika tukang masak, Lee Kam Foo, 56, dan Simak Lambak, 43, seorang pengawal, sedang tidur di bahagian tengah bangsal berkenaan.

Menurut Lee, ketika itu beliau bangun untuk membuang air kecil, sebelum tiba-tiba kedengaran bising di bahagian belakang bangsal itu.

"Sebaik saya menyuluh ke arah bunyi itu saya dapati sekumpulan lima hingga tujuh ekor gajah liar sedang memakan tanaman ubi kayu, pisang dan meranapkan bahagian dapur tempat memasak di bangsal itu.