Thursday, 28 November 2013

Buli Rakan: Tiga Remaja Dihantar Ke Sekolah Tunas Bakti

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis memerintahkan tiga pelajar yang mengaku membuli seorang rakan mereka awal Mac lepas ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar dekat sini.
Majistret Norzafirah Mohamed Ali memerintahkan kesemua pelajar berusia 15 tahun dan baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah itu ditempatkan di sekolah berkenaan selama tiga tahun berkuat kuasa Khamis.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah pada 2.25 petang 4 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain manakala kesemua pelajar tidak diwakili peguam.
Perbuatan tiga remaja itu dirakam dalam klip video berdurasi seminit 32 saat yang tersebar di laman sosial YouTube dan memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah bilik darjah. - BERNAMA

Anggota Polis Dilepas & Dibebaskan Dari Tuduhan Bunuh Rakan Sejawat

ALOR SETAR: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar daripada hukuman membunuh rakan sejawatnya ketika bertugas mengawal pintu masuk Istana Anak Bukit April tahun lalu.
Bagaimanapun Pesuruhjaya kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh, Rosli Abu Hassan ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan sementara menunggu keizinan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk dibebaskan.
Mohd Zaki, dalam penghakimannya mendapati tertuduh disahkan mengalami gangguan mental dan tidak siuman ketika melakukan kesalahan.