Monday 29 September 2014

Lapan Pegawai Kastam Didakwa Atas 25 Pertuduhan Terima Suapan


Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 11:30 AM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Lapan pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia didakwa atas 25 pertuduhan menerima suapan antara RM200 dan RM7,000 berhubung pelepasan arak yang tidak dibayar cukai.
Mereka didakwa dibawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan terhadap enam pegawai dibacakan dihadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin manakala dua lagi dihadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Kesemua mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM5,000 dan RM20,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 November depan.

SPRM Tahan Seorang Lagi Kes Seludup Keluar Barang Dari PKFZ


Diterbitkan: Ahad, 28 September 2014 9:20 PM
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang individu yang disyaki bersuhabat dengan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menerima wang rasuah daripada sindiket penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai eksais, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata individu itu kini direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Enam ATM 'Diusik', RM1.271 Juta Dicuri


Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 2:28 PM
Perompak meninggalkan mesin ATM di luar Affin Bank di Jalan Ros Merah 2 di Johor dalam kejadian rompakan pada September tahun lalu.
  (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam Mesin Teler Automatik (ATM) kepunyaan Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor, menurut kenyataan Affin Bank pada Isnin.

Kenyataan itu menyebut mesin ATM itu diusik pada Sabtu lepas, mengakibatkan kecurian wang tunai daripada mesin berkenaan.
Mesin ATM terbabit terletak di Johor Baharu, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor; Melaka Raya; selain PJ State dan USJ di Selangor, menurut kenyataan itu.

"Insiden itu telahpun dilaporkan dan bank bekerjasama rapat dengan polis dalam penyiasatan kes itu," kata bank berkenaan.