Thursday 30 April 2015

Faktor karpet dalam semakan kehakiman Anwar



Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 10 Februari yang menjatuhi hukuman lima tahun penjara padanya atas sabitan kesalahan liwat.

Ketua umum PKR itu mendakwa terdapat kesilapan mahkamah dalam keputusan itu.

Anwar menjadikan kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung sabitan kes itu serta siri jelajah Umno yang mengetengahkan ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai alasan untuk permohonan itu.

Anwar percaya tiada sebab untuk sabitan dibuat dan hukuman dijatuhi kerana terdapat percanggahan bukti berkaitan sekeping permaidani – tempat kesalahan dikatakan berlaku – yang dipindahkan.

Permohonan itu difailkan oleh peguam N Surendran dan Michelle Yesudas hari ini.

Turut hadir anak Anwar, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR.

Dr M: BN tak perlu bantuan saya dalam PRK



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN tidak memerlukan bantuannya pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Bagaimanapun, beliau berpandangan BN berpeluang menang kerusi parlimen tersebut berikutan perselisihan berhubung isu hudud yang melanda Pakatan.

"Saya tak fikir mereka (BN) perlukan bantuan saya. (Tetapi) saya fikir mereka mempunyai peluang untuk menang.

"Sebab isu hudud, PKR tak sokong. Jadi PAS mungkin tidak akan bantu.

"Maka ia boleh beri peluang (pada BN)," katanya pada sidang media selepas program Cakna Ilmu di USM Pulau Pinang.

Dr M: BN mungkin menang Pmtg Pauh, Rompin



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh mungkin menyebelahi BN – tetapi bukan disebabkan kekuatan parti itu.

Sebaliknya, kemenangan itu mungkin secara kebetulan kerana pihak lawan kini bermasalah, kata Mahathir.

“Saya nampak ada peluang di Permatang Pauh pun kerana parti lawan berpecah.

“Bukan kerana Umno kuat tapi kerana parti lawan berkelahi sesama sendiri dan dia kalah,” katanya kepada pemberita.

Beliau melihat, BN juga mungkin mempunyai peluang sama dalam pilihan raya kecil Rompin.

“Kita ada peluang menang kerana PAS lemah,” katanya lagi selepas satu syarahan di German-Malaysian Institute di Kajang.

Secara kasar, beliau masih melihat bahawa BN bahawa pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih lemah.