Thursday 6 August 2015

Wakil rakyat pembangkang tampil sokong SPRM



Seramai kira-kira 10 orang wakil rakyat daripada pembangkang hari ini mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menunjukkan sokongan terhadap suruhanjaya itu.

Antara wakil rakyat yang hadir ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Turut hadir ialah Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu dan MP Pandan, Rafizi Ramli.

Kesemua wakil rakyat itu kemudian mengadakan  pertemuan selama kira-kira 30 minit dengan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob.

SPRM pertahan siasatannya terhadap akaun PM



Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dana SRC International Sdn Bhd yang didakwa ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak  adalah berlandaskan kepada undang-undang.

"Tanpa adanya sebarang niat jahat," kata sumber yang rapat dengan siasatan SPRM.

"Berdasarkan seksyen 72 Akta SPRM 2009, pegawai kami diberi kekebalan dari sebarang tindakan undang-undang dalam menjalankan siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta ini memandangkan siasatan yang dijalankan adalah dengan suci hati."

Seksyen 72 Akta SPRM adalah satu klausa yang panjang, antaranya menyatakan, "tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa juga prosiding lain boleh diambil, dibawa, dimulakan, atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah atau di hadapan mana-mana pihak berkuasa terhadap kerajaan Malaysia, mana-mana pegawai SPRM, mana-mana anggota lembaga penasihat atau jawatankuasa khas SPRM atau mana-mana orang yang dengan sah bertindak bagi pihak suruhanjaya itu, dengan syarat perbuatan atau pernyataan itu dilakukan atau dibuat dengan suci hati."

Peruntukan ini dipercayai digunakan dalam mempertahankan SPRM daripada tindakan undang-undang dyang difailkan oleh keluarga Teoh Beng Hock keluarga yang ditemui meninggal dunia pada 2009 di luar pejabat SPRM selepas dia disoal siasat oleh pegawai SPRM.

MP, petani ditangkap protes depan pejabat MB



Polis menangkap anggota parlimen Parti Rakyat Malaysia (PSM)  Dr Michael Jayakumar serta sekumpulan petani dan aktivis yang mengadakan protes di luar pejabat menteri besar Perak hari ini.

Kumpulan itu, yang menolak arahan pengusiran, berkumpul untuk bertemu Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, setelah dikatakan mencubanya sejak beberapa bulan lalu.

Turut ditangkap Setiausaha Agung PSM A Sivarajan dan pemimpin popular parti itu  S Arutchelvan.

Pasukan khas 1MDB 'bersara' bersama Gani?



Pasukan khas pelbagai agensi yang menyiasat syarikat pelaburan negara 1MDB seperti terhenti tiba-tiba selepas penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara minggu lepas.

Sebelum ini, pasukan itu sentiasa mengemas kini perkembangan siasatan mereka selepas muncul berita menggemparkan terdapat RM2.6 bilion wang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

Ini diikuti dengan penangkapan berprofil tinggi melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan aliran wang itu. Muncul juga spekulasi seperti ada reaksi balas berlaku setelah itu.

Pasukan itu diisi nama-nama besar termasuk Gani, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun, selepas Gani digantikan dengan peguam negara yang baru pada 27 Julai, tiada lagi kemas kini daripada mereka.

Di pihak SPRM pula, Abu Kassim kini sedang bercuti manakala timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berada di luar negara untuk tugas rasmi.

Difahamkan Shukri akan pulang minggu depan tetapi sumber memberitahu beliau akan menyambung dengan cuti selepas itu.

Polis sasar Zeti?

Malaysiakini juga difahamkan bahawa siasatan SPRM pada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan, menjadi tugasan terakhirnya sebalum bersara.

Abu Kassim dan Mohd Shukri (gambar) juga tiada ketika pegawai kanan suruhanjaya itu disiasat oleh polis bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan terlibat aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sumber-sumber memberitahuMalaysiakini bahawa dokumen penting berkaitan siasatan SPRM telah dirampas.

Walaupun SPRM berikrar meneruskan siasatan pada SRC, difahamkan perkembangan terbaru ini ternyata mengecewakan mereka.

Sementara itu, Zeti juga dipercayai sedang berada di luar negara. Bank Negara bagaimanapun ketika dihubungi enggan mengesahkannya.

Dua anggota parlimen hari ini - Lim Lip Eng and Teo Kok Seong – hari ini menyerahkan surat kepada Bank Negara, mendesak bank pusat itu mengesahkan bahawa Najib pernah mengisytiharkan menerima RM2.6 bilion.

Mereka juga mahu tahu sama ada Zeti tidak berada dalam negara dan diberikan jawapan, Zeti masih bertugas.

Kemampuan Zeti dan Bank Negara menjalankan tanggungjawabnya dalam pasukan khas 1MDB itu menjadi tanda tanya memandangkan beliau sendiri mungkin disiasat polis susulan kebocoran maklumat sulit kewangan.

Pasukan tanpa pengasas?

Bank Negara menafikan penglibatan mereka.

Zeti bagaimanapun dinamakan dalam beberapa blog pro-BN sebagai sosok utama dalam dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Pihak-pihak lain yang turut dinamakan sudah dirakamkan kenyataan mereka oleh polis. Dalam masa yang sama, Zeti juga kini dihamburkan dakwaan rasuah.

Sementara itu, walaupun kewujudan pasukan khas itu hanya diketahui orang awam pada 3 Julai, selepasThe Wall Street Journalmelaporkan aliran wang ke akaun Najib, ia mungkin telah wujud empat tahun lebih awal.

Gani pada perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara pada Oktober tahun lalu berkata memulakan pasukan khas pada Mac 2011 bagi membantu kerajaan membanteras pelarian cukai kastam, pengubahan wang haram, rasuah dan salah guna subsidi minyak.

Beliau menjelaskan bahawa pasukan itu bukan agensi baru, tetapi kerjasama dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi demi membanteras penjenayah antarabangsa.

Walaupun pasukan khas 1MDB berkata Gani dirunding untuk pandangan undang-undang, jelas bahawa memainkan peranan sebagai anggota penting dalamnya sebelum ini.

Dengan semua perkembangan di atas, kemungkinan besar tiada maklumat kemas kini akan diketahui daripada pasukan itu dalam masa terdekat.
 

Wang RM2.6b: SPRM akan soal PM



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung derma yang diterimanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan agensi itu hari ini, SPRM juga berkata, mereka sudah mendapatkan penjelasan daripada penderma yang berasal dari Timur Tengah.

Pihak berkaitan, kata kenyataan itu, mengesahkan sumbangan derma berkenaan.

"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM

SPRM berkata, seperti pernah dinyatakan beberapa kali ebelum ini, siasatan badan penguatkuasa itu tiada kaitan dengan 1MDB, sebaliknya isu itu ditangani oleh polis.

Mengenai sumbangan yang menjadi tumpuan ramai ketika ini, SPRM berkata mereka tidak boleh mendedahkan identiti pihak penderma dana RM2.6 bilion Najib.

Dapat penjelasan

Bagaimanapun kata SPRM, pegawai agensi itu memperoleh penjelasan daripada penderma dan butiran pihak terbabit diketahui melalui dokumen yang diambil dari bank.

Kenyataan itu menyebut, ada empat surat diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun Najib.

"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.

"SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut.

Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," katanya.

Hasil perbincangan dengan Peguam Negara Malaysia, SPRM diminta membuat penjelasan mengenai perkara itu sementara siasatan masih dijalankan.

"Sehubungan itu, SPRM juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM," kata kenyataan itu.

Jalan siasatan masing-masing

Kenyataan sama juga menjelaskan siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM.

Namun SPRM menekankan, siasatan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International adalah dua perkara berbeza.

"Oleh itu, SPRM menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes disiasat ini telah ditutup, sebaliknya hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB," katanya.

Sementara itu SPRM juga mengesahkan pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini terbubar selepas mendapat nasihat peguam negara.

Kenyataan sama menyebut, agensi yang terlibat dalam penyiasatan isu berkenaan boleh menjalankan tugas masing-masing berdasarkan undang-undang berkaitan.

"Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.

"Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya," katanya.