Friday, 24 July 2015

Sekat atau tidak, Tun M tetap sasar 1MDB



Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan tetap menulis tentang isu 1MDB walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat Sarawak Report.

"Saya tetap akan menulis (mengenai 1MDB)," kata bekas perdana menteri itu ketika ditemui pemberita di lobi sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksinya terhadap kritikan yang dibuat kepada 1MDB selepas akses laman sesawang yang aktif membuat pendedahan mengenai agensi itu,Sarawak Report, disekat SKMM.

Sarawak Report telah disekat oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjumpaan SKMM dengan pengarang portal berita semalam, Dr Mahathir berkata perkara tersebut membuktikan bahawa tapisan terhadap media memang wujud di negara ini.

"Ada tapisan terhadap media. Secara efektifnya, ada tapisan terhadap media," katanya ringkas.

Dalam perjumpaan dengan pengarang-pengarang portal berita semalam SKMM mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap sebarang pemberitaan palsu atau tidak tepat.

Malah, pengarang portal berita dalam talian juga hari ini diingatkan tidak memaparkan semula bahan daripada Sarawak Report yang telah disekat SKMM.

SKMM berkata tindakan menyebarkan semula laporan yang dibuat portal yang telah disekat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan juga boleh diambil terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi dan keselamatan nasional.
 

Seorang dibebaskan dengan ikat jamin

S


Individu pertama yang ditahan reman berhubung siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB dibebaskan hari ini dengan ikat jamin.

Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan pengarah syarikat berusia 39 tahun itu dengan jaminan RM100,000 dengan dua orang penjamin.

“Anak guam saya perlu membayar RM20,000, dengan bakinya dengan jaminan lisan,” kata peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membebaskan lelaki tersebut apabila Timbalan Pendakwa Raya tidak memohon untuk melanjutkan tempoh reman.

Shafee memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya kini bercadang untuk memfailkan saman ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, atas dakwaan penahanan salah.

"Beliau ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, tanpa diberitahu apa kesalahan yang dilakukannya. Penahanannya tiada alasan wajar.

“Penahanannya tidak munasabah, kerana dia tidak tahu fakta dan undang-undang yang didakwa telah dilanggar.

"Seperti mana anda menahan seseorang kerana membunuh, anda perlu bertiahu orang itu siapa yang dia telah bunuh,” kata Shafee.

Tegasnya, hak tersebut diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anak guamnya itu juga “tiada kaitan langsung” dengan 1MDB memandangkan individu tersebut sudah lama meninggalkan firma milik kerajaan itu, dakwanya.

'Tangkap 'watak utama' 1MDB demi pulih keyakinan'



Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya pihak berkuasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memastikan 'watak utama' bagi skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangkap.

Bekas ketua pembangkang yang dipenjara itu berkata, tindakan tegas terhadap pihak terbabit perlu diambil bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur memandangkan nilai mata wang ringgit kini merudum.

"Walaupun beberapa tangkapan telah dilakukan, tidak salah untuk terus berasa curiga sehinggalah tindakan diambil terhadap 'watak utama' skandal ini.

"Pihak berkuasa mesti bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti Polis Antarabangsa (Interpol) kerana beberapa 'watak utama' atau saksi kini berada di luar negara.

"Tindakan tegas mesti diambil untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur. Tiada sesiapa yang bersalah, tidak kira betapa tinggi kedudukannya, patut terlepas," kata Anwar dalam perutusan yang disampaikan melalui peguamnya.

Dilaporkan akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendakwa hampir AS$700 juta dana 1MDB disalurkan ke akaun persendirian Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun menafikannya dan bertindak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut.

Hal demikian mengundang pelbagai reaksi pelbagai pihak sehingga mendorong kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan skandal itu termasuk pihak berkuasa Thailand turut menahan bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo.

Beliau didakwa memeras ugut bekas majikannya pernah menjalinkan bekerjasama dengan 1MDB dan dituduh mengubahsuai salinan emel yang bocor mengenai 1MDB dan rakan kongsi perniagaannya itu.

Semalam, ahli politik pembangkang Tony Pua dan Rafizi Ramli - yang sering membuat kenyataan menganai !MDB - dihalang oleh pihak berkuasa untuk ke luar negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun beberapa individu ditangkap berkaitan skandal 1MDB telah dilakukan, namun kepincangan urus tadbir dana 1MDB masih perlu dijawab oleh kepimpinan BN.

Menurutnya, sejak 2009 lagi, beliau telah membangkitkan isu masalah urus tadbir 1MDB di Parlimen tetapi tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan Umno.

"Skandal ini telah mendedahkan kepincangan urus tadbir dan rasuah di peringkat tertinggi kepimpinan BN yang amat mengejutkan, di mana perdana menteri sendiri didakwa terlibat.

"Kini negara menghadapi kehilangan berbilion ringgit dan rasa malu di kalangan masyarakat antarabangsa; nilai mata wang ringgit merudum dan keyakinan pelabur tergugat.

"Ini mendatangkan kesan kepada kesihatan kewangan setiap rakyat Malaysia dan BN mesti berikan penjelasan," kata tokoh PKR yang pernah menjadi menteri kewangan. 
 

Mat Sabu: GHB bersama muafakat politik baru



Gerakan Harapan Baru (GHB) mengalu-alukan kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pemimpin DAP Lim Kit Siang berhubung penubuhan permuafakatan politik baru yang lebih utuh.

Pengerusi GHB Mohamad Sabu berkata kenyataan kedua-dua pemimpin itu selari dengan hasrat gerakan itu untuk menghidupkan semula gerakan kerjasama parti politik dengan NGO dan rakyat dengan lebih utuh selepas Pakatan Rakyat berkubur.

Dengan kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu serta ramalan harga minyak mentah yang menurun, ia sekaligus menjadikan Malaysia tidak berdaya saing sebagai destinasi pelaburan, kata pemimpin yang lebih dikenali Mat Sabu.

Apatah lagi, katanya, negara kini berdepan dengann situasi yang sangat meresahkan dengan dakwaan skandal kewangan, kenaikan harga barang akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta krisis nilai ringgit.

"Maka bagi Harapan Baru, pembentukan muafakat baru seperti yang dinyatakan, sangat kritikal pada waktu ini, untuk memimpin kebangkitan rakyat dan anak muda dalam misi "Menyelamatkan Malaysia" dari bencana kemusnahan hasil dari kegagalan pentadbiran Umno, BN," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Dalam perutusannya, Anwar mengumumkan usaha mewujudkan pembentukan muafakat baru progresif yang merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti gabungan BERSIH, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru.

Malah, Kit Siang juga berkata, wakil daripada parti pembangkang - kecuali PAS - sudah memulakan rundingan bagi membentuk gabungan baru menggantikan Pakatan Rakyat ekoran PAS membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan DAP dalam muktamar pada bulan lalu.

Bagaimanapun, PAS kini mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berhubung cadangan penubuhan pakatan baru pembangkang yang akan tubuhkan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Mohamad menyeru kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bergerak bersama GHB untuk menyelamatkan negara.

"Pada masa sama, Harapan Baru juga mahu menyeru kepada seluruh rakyat negara ini, tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama untuk bergerak bersama kami dan muafakat baru ini bagi menyelamatkan negara ini," katanya lagi.