Friday, 8 November 2013

Tiga Rakyat Uzbekistan Dihukum Gantung Edar 10 Kilogram Dadah

SHAH ALAM: Seorang pesara dan dua penganggur warga Uzbekistan pada Jumaat dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana mengedar 10kg dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.
Hakim Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap pesara Dilbar Nazarova, 54, Jasur Djurakulov, 39, dan Sayora Nurmukhamedova, 58, selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan itu.
Nazarova didakwa mengedar 4.2kg methamphetamine manakala Djurakulov dan Nurmukhamedova masing-masing menghadapi tuduhan mengedar 3.6kg dan 2.2kg dadah jenis sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Ketibaan KLIA pukul 9.30 pagi, 7 Sept 2010 dan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan pembelaan oleh tertuduh hanya penafian semata-mata. Nurchaya berkata pembelaan tertuduh bahawa mereka tidak tahu mengedar dadah adalah jenayah serius di negara ini tidak boleh diambil kira kerana pengumuman sering dibuat oleh syarikat penerbangan mengenai perkara itu sebelum pesawat mendarat di lapangan terbang.

Kesemua tertuduh ditangkap membawa dadah dalam bagasi masing-masing, yang mereka dakwa diberi kepada mereka oleh seorang lelaki bernama Shoruh di Lapangan Terbang Tashkent sebelum berlepas ke Malaysia.Mereka mendakwa datang ke negara ini untuk urusan perniagaan dan mahu membeli pemain cakera video digital dan peralatan komputer untuk dibawa pulang ke Uzbekistan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin manakala peguam Hisham Teh Poh Teik mewakili kesemua tertuduh. - BERNAMA
Kesemua tertuduh ditangkap membawa dadah dalam bagasi masing-masing, yang