Thursday 19 January 2017

Mahkamah benar Anwar cabar keputusan Lembaga Pengampunan


Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan dua persoalan undang-undang berkaitan cabarannya terhadap bidang kuasa Lembaga Pengampunan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim juga mengarahkan kes berkenaan didengar di mahkamah tinggi. Pengurusan bagi kes berkenaan ditetapkan pada 2 Februari ini.
Keputusan sebulan suara itu dibuat tiga hakim diketuai Datuk Rohana Yusuf, Dua lagi hakim ialah Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Mary Lim.
Ekoran keputusan itu, Anwar menyatakan rasa lega dan syukurnya.
"Alhamdulillah. Saya di sini untuk menghadapi perjuangan yang sukar tetapi keputusan ini dialu-alukan," katanya.
Sebelum ini tanggapan meluas mengenai Lembaga Pengampunan ialah keputusannya tidak boleh dipertikaikan.
Bagaimanapun, Anwar membangkitkan persoalan undang-undang berdasarkan kes di United Kingdom dan pindaan Artikel 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1994.
Peguam Anwar, N Surendran, berkata keputusan itu mempunyai implikasi besar bahawa Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan mereka, keputusan Lembaga Pengampunan boleh dipersoalkan.

Merungkai wanita misteri penandatangan akaun Jho Low

Minggu lalu, satu pendedahan mengejutkan dibuat apabila mahkamah Singapura diberitahu bahawa ahli perniagaan Malaysia, Jho Low menggunakan nama samaran atau alias Eric Tan Kim Loong bagi tujuan membuka empat akaun bank di Falcon Private Bank di republik itu.
Keempat-empat akaun Falcon itu di bawah nama Westfield Group Services Inc, Granton Property Holding Limited, Tanore Finance Corp dan Midhurst Trading Limited - semuanya milik Tan.
Berikutan itu, Sarawak Report, yang memetik sumber mendakwa penandatangan kepada akaun di Falcon Bank yang berkaitan 1MDB di Singapura yang dibuka oleh Low adalah seorang wanita.
Laman web itu membayangkan kemungkinan bahawa wanita itu adalah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor. Ini menyebabkan peguamnya mengeluarkan penafian.
Satu kenyataan Jabatan Peguam Negara Singapura pada 10 Januari memberi petunjuk bahawa individu berkenaan adalah orang lain. Individu itu turut dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Kenyataan perbicaraan kes bekas pengurus cawangan Falcon Bank, Jens Fred Sturzenegger mendedahkan perbualannya dengan Low berhubung pelantikkan bekas eksekutif 1MDB Jasmine Loo sebagai penandatangan untuk akaun yang dibuka di bawah nama alias Eric Tan itu.