Hakim yang telah bersara boleh hadir di mahkamah sebagai peguam, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini. 

Panel hakim lima anggota dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif membuat keputusan itu selepas menolak permohonan dua syarikat pembinaan supaya hakim yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam bagi sebuah syarikat pemaju.
"Tiada asas perundangan bagi permohonan ini," katanya.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang turut bersidang dalam panel berkenaan, menegaskan permohonan itu bertentangan dengan hak perlembagaan seseorang warganegara untuk menyara hidup, mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut menerima permohonan maaf daripada peguam Gideon Tan, yang mewakili kedua-dua syarikat berkenaan, berhubung dakwaan mengaibkan mahkamah yang didakwa dibuat anak guamnya dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka supaya Sri Ram tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam.
     
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop serta Datin Paduka Zaleha Zahari, memerintahkan Pasukhas Constructions Sdn Bhd dan I-Innovations Construction Sdn Bhd membayar RM10,000 kos perundangan kepada MTM Millenium Holdings Sdn Bhd.
Pasukhas Constructions dan I-Innovations mengemukakan permohonan supaya Sri Ram, 69, tidak dibenarkan mewakili MTM Millenium sebagai peguam atas alasan beliau seorang pesara hakim.
Di luar mahkamah, peguam Datuk Harpal Singh Grewal, yang mewakili MTM Millenium berkata ini kali pertama Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung isu seorang hakim yang telah bersara kembali semula ke mahkamah sebagai seorang peguam.
Sementara itu, Tan berkata penampilan Sri Ram sebagai peguam akan memberikan tanggapan bahawa undang-undang yang akan dilaksanakan mungkin terjejas.
Harpal Singh pula berhujah Seksyen 35 Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976 tidak menghalang mana-mana peguambela dan peguamcara, mahupun seorang hakim yang bersara, untuk tampil di mana-mana mahkamah di negara ini.
"Seksyen 36 LPA turut memperuntukkan mana-mana orang yang namanya tercatat dalam senarai peguambela dan peguamcara serta memiliki sijil amalan guaman yang sah, berhak untuk tampil di mana-mana mahkamah.
Beliau berkata Sri Ram mempunyai kelayakan mengikut LPA dan permohonan syarikat terbabit supaya beliau tidak dibenarkan tampil sebagai peguam dibuat tanpa sebarang asas perundangan.
MTM Millenium terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan Pasukhas Constructions dan I-Innovations Constructions berhubung sebuah projek pembinaan di Cherating, Pahang.
MTM Millenium memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada syarikat itu.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran permohonan kebenaran untuk merayu itu kepada 30 Oktober.
Laporan sebelum ini menyebut Sri Ram akan mewakili pakatan pembangkang Perak dalam kes petisyen pilihan raya tetapi timbul perdebatan tentang keputusannya untuk menjadi pengamal undang-undang selepas bersara.
Pengerusi Majlis Peguam Christopher Leong berkata bekas hakim kanan seharusnya bertindak sebagai konsultan dan bukannya tampil di mahkamah sebagai peguam tetapi Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, sebaliknya berkata hakim yang telah bersara tidak seharusnya dinafikan hak mereka untuk hadir di mahkamah sebagai peguam.
Bernama